Kes simbah asid FH7, HM ikat Korea Selatan antara 3 momen sukar dilupakan sepanjang 2024


  • Podium
  • Isnin, 23 Dis 2024

Sepanjang 2024, penyokong dapat menyaksikan beberapa peristiwa mengejutkan yang mencorak arena bola sepak tempatan.

SEPANJANG 2024, penyokong dapat menyaksikan beberapa peristiwa mengejutkan yang mencorak arena bola sepak tempatan.

Ini termasuk perlawanan dramatik yang melibatkan Harimau Malaya sehingga kejadian luar biasa melibatkan pemain-pemain terkemuka.

Malah tahun ini penuh dengan momen yang mengundang perhatian ramai.

Majoriti senaraikan tiga kejadian besar yang tidak hanya mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat, tetapi turut memberi kesan mendalam kepada perjalanan bola sepak Malaysia.

BACA LAGI: Bukan tugas mudah, anak kelahiran Sarawak sedia bantu Harimau Malaya benam Singapura

BACA LAGI: [VIDEO] 'Maaf Malaysia', Haqimi Azim beri bayangan Harimau Malaya akan bangkit

1. Malaysia seri dengan Korea Selatan di Piala Asia

siakap-keli-article-cover-1706192257

Harimau Malaya mencipta sejarah dengan mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023. — Gambar/FIFA

Pada 25 Januari 2024, pasukan Harimau Malaya mencipta sejarah dengan mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu menyaksikan Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk menyamakan kedudukan melalui jaringan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Walaupun Korea Selatan mendahului pada masa kecederaan, Romel Morales muncul sebagai wira dengan gol ketiga Malaysia pada minit ke-115, memastikan satu mata berharga untuk pasukan negara.

Meskipun mata dibawa pulang itu tidak membawa erti besar buat skuad kebangsaan dalam kempen tersebut, ia sememangnya sukar dilupakan kerana jurang kualiti kedua-dua pasukan amat besar.

2. Serangan terhadap Akhyar Rashid dan Faisal Halim

61715060068_FaisalHalimAkhya

Kejadian yang menyaksikan Faisal (kiri) dan Akhyar mengalami serangan yang dianggap tidak wajar oleh peminat kerana meninggalkan kesan amat mendalam terhadap karier masing-masing.

Insiden serangan fizikal terhadap pemain Harimau Malaya, Akhyar Rashid dan Faisal Halim pada awal Mei 2024 mencuri perhatian media, termasuk liputan dari Korea Selatan.

Ini selepas berlaku kejadian yang menyaksikan kedua-dua pemain itu mengalami serangan yang dianggap tidak wajar oleh peminat kerana meninggalkan kesan amat mendalam terhadap karier masing-masing.

Akhyar yang pada 1 Mei lalu menyambut hari lahirnya dilaporkan disamun pada malam tersebut dengan beberapa kecederaan dialami pemain pinjaman Terengganu FC berkenaan.

Tidak lama selepas itu, Faisal pula menjadi mangsa pada Ahad apabila dia disimbah asid dalam satu serangan di sebuah pusat beli-belah terkemuka sekitar Petaling Jaya, Selangor.

Kedua-dua kejadian itu memberi impak besar di dalam dan di luar padang, terutamanya buat Faisal yang masih belum kembali ke tahap sebenar, baik dari segi persembahan di atas padang mahupun secara emosi.

3. Selangor FC dimalukan di Bukit Jalil

464495702_961565919344486_383993029026519650_n

Arif Aiman dan Bergson meraikan kemenangan selepas Selangor FC mengalami kekalahan besar 1-6 kepada JDT dalam aksi final Piala FA 2024 di SNBJ Ogos lalu. — Gambar/HarimauSelatan

Pada Ogos lalu, Selangor FC menanggung malu selepas mengalami kekalahan besar 1-6 kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Kekalahan The Red Giant itu juga menjadi salah satu momen paling mengecewakan bagi penyokong mereka.

Manakan tidak, kekalahan itu bukan sahaja menjejaskan moral pasukan tetapi juga mencetuskan kritikan hebat dari peminat dan media.

Selain gagal menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali menjulang Piala FA, kekalahan kepada JDT juga menyaksikan Selangor menjadi pasukan yang mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir kejohanan itu.

Kejadian itu juga menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, menandakan perlunya perubahan dalam strategi pasukan untuk mengembalikan semula reputasi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram