Yusri harap ada hikmah daripada pemain muda dengan kehilangan tiga import


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 25 Dis 2024

Perak tempang tanpa beberapa bintang import mereka. — Facebook/Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

YUSRI Che Lah bersetuju kesudahan buat Perak FC kendaliannya dalam Liga Super musim lalu ditampung oleh kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia. Ia dikira masih melengkapkan musim 2023 dengan bermakna di sebalik pencapaian dalam liga yang rata-rata dianggap tidak seberapa.

Kegagalan melepasi halangan suku akhir Piala Malaysia musim ini pula tidak memberikan The Bos Gaurus (TBG) banyak pilihan kecuali memperbaiki kedudukan liga di tangga ketujuh ketika ini dengan berbaki lapan perlawanan lagi pada 2025.

Apa yang lebih menyukarkan ialah mereka dituntut untuk melakukannya selepas kehilangan tiga pemain import yang didahului oleh pemain sayap, Lee Tae-min, selepas aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 30 November lalu dan disusuli bek tengah, Jesper Nyholm, dan pemain tengah menyerang, Luka Milunovic, selepas aksi kedua suku akhir berhadapan Sri Pahang FC pada 22 Disember setelah kontrak mereka tamat.

BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC

BACA LAGI: Mutu pengadilan disebut punca Perak berputih mata di Temerloh, kempunan muncul semifinalis Piala Malaysia

Ini meninggalkan Perak FC dengan hanya lima pemain import -- Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov, Luiz Motta dan Clayton Da Silva.

“Kita punya jumlah pemain yang terhad sebenarnya. Tapi macam mana pun, kita perlu hadapi baki lapan perlawanan liga dengan pemain-pemain yang ada,” kata ketua jurulatih Perak FC itu kepada Bola Pegun.

“Kehilangan Jesper bagi kuota pemain ASEAN satu kerugian bagi kita. Tapi kita tak boleh nak tolak tawaran kepadanya untuk berpindah ke Liga Thailand yang membuka jendela perpindahan dari 1 hingga 31 Januari ini,” tambahnya.

Di samping memiliki dua pemain muda di pertahanan, Nik Umar Nik Aziz, 23, dan Kamal Arif, 21, Yusri berharap kepada bek import, Luiz Motta, yang sudah pulih daripada pembedahan tiga bulan lalu.

Seperti sudah kerap diulanginya, Yusri mengharapkan penyokong dapat memahami bahawa kehilangan seorang pemain berpengaruh seperti kapten, Guaycochea, yang awalnya dikhuatiri akan tersisih enam minggu kerana kecederaan pergelangan kaki kiri, meninggalkan impak besar kepada pasukan.

“Pasukan lain terutama team besar seperti Selangor, Sabah dan Terengganu mungkin tak begitu terasa kalau hilang seorang pemain tapi bagi Perak, kehilangan Luciano tinggalkan impak besar.

“Ketika lawan Pahang (pada 22 Disember), dia masuk pada tahap 60-70 peratus untuk kekalkan rentak pasukan. Kita tidak dibolosi lagi selepas kedudukan 3-3 ketika itu.

“Kita ada tiga minggu lagi, harap-harap lawan Penang FC (12 Januari), Luciano sudah 100 peratus cergas,” tambahnya.

471256782_600852889161757_1002755741005386321_n

Perak perlu terus bergantung kepada pemain muda.

Sebagai membenarkan kata-katanya, sejak ketiadaan Guaycochea pada 22 November lalu, Perak FC seri 1-1 dengan Kedah FC, tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC dan tewas 1-2 kepada Selangor FC yang mengakibatkan mereka keciciran lapan mata berharga.

Dalam apa keadaan pun, Yusri menuntut agar pemain-pemain muda dalam pasukan sentiasa bersedia dan menghargai peluang setiap kali diturunkan.

“Ada hikmah di sebalik kekurangan kita sekarang. Ini beri peluang kepada pemain-pemain bawah 23. Peluang seperti ini tidak sentiasa ada. Jika pakai sebaik mungkin, peluang mereka musim depan akan lebih cerah,” katanya.

Enggan diberi pengiktirafan selaku jurulatih yang berani menampilkan bakat muda, Yusri berkata ia didorong oleh pemain muda berkenaan sendiri yang dapat memberi apa yang beliau inginkan dalam latihan hasil kerja keras dan kesungguhan.

“Bukan saya seorang (berani tampilkan pemain muda). Jurulatih lain pun buat benda yang sama, cuma mereka mungkin ada lebih banyak pilihan,” katanya sambil menonjolkan Azfar Fikri Azhar, 24, dan Daniel Hakimi Ahmad Azmil, 21, yang menyerlah setakat ini.

“Pemain muda yang ada sudah tunjukkan peningkatan. Azfar Fikri umpamanya bermula dengan lawan Negeri Sembilan, permainannya terus meningkat dah tak mudah dibuai pujian, begitu juga Hakimi yang score satu gol walaupun diturunkan 45 minit ketika lawan Pahang.

“Pesan saya mereka tidak harus rasa selesa. Saya khuatir pujian sebabkan mereka selesa, ini kita tak mau,” katanya.

471201954_600852292495150_1888996127540791336_n

Yusri (tiga dari kanan) perlu harapkan pemain mudanya sekali lagi untuk menyerlah. — Facebook/Perak FC

Apa yang menanti Perak FC pada 2025 dan apa yang disasarkan?

Jadual liga berdasarkan kemas kini terbaharu menyenaraikan Perak FC akan berhadapan dengan Penang FC (12 Jan - A), KDN FC (26 Jan - H), Kuching City FC (7 Feb - A), JDT (27 Feb - A), Negeri Sembilan FC (8 Mac - H), Kuala Lumpur City FC (6 Apr - A) dan Sri Pahang FC (12 Apr - H).

Yusri menyimpulkannya sebagaimana berikut: “Sebagai jurulatih, kita tak mau keluar awal dari saingan Piala Malaysia.

“Namun, pencapaian musim lalu (separuh akhir) gagal diulangi. Kita bukan mau tahap semifinal, pihak pengurusan mahukan lebih lagi.

“Jadi, apa yang tinggal ialah kita mahu lebih baik dari tangga ke-11 liga musim lalu sebagai satu peningkatan. Tidak setakat itu, kita mahu jauhkan bolos yang sama (55 gol musim lalu berbanding 28 ketika ini),” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram