NAMA Marcus Rashford menjadi pilihan utama untuk meninggalkan Manchester United dengan kelab itu mahu menyingkirkan produk akademi mereka bagi meraih dana supaya dapat membawa pemain baharu.
Dia dikaitkan dengan kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) serta ke Arab Saudi. Namun begitu, saingan Serie A di Itali mungkin boleh menjadi destinasi wildcard kepada Rashford untuk bangkit sekali gus mendapatkan semula kegemilangannya yang hilang.
Rakan sepasukan Rashford di United yang terdahulu sudah melalui jalan ini dan meraih semula kecemerlangan. Mungkin, sudah tiba masanya untuk dia melakukan perkara serupa?
BACA LAGI: Bagai melukut di tepi gantang, Amorim terus peram Rashford
BACA LAGI: Ruben Amorim emosi lihat 'interview' Rashford
Romelu Lukaku
Pembelian Romelu Lukaku daripada Everton pada 2017 kelihatan tidak membuahkan hasil yang diharapkan selepas dia sebelum itu tampil cemerlang bersama The Toffees.
Menghasilkan 42 gol daripada 92 penampilan selama dua tahun di United, Lukaku bagaimana pun tidak berjaya menghadiahkan sebarang kejuaraan buat United.
Lukaku (kiri) mencipta gandingan istimewa dengan Lautaro Martinez (kanan) di Inter. — Agensi
Dia kemudiannya meninggalkan United untuk bersama Antonio Conte di Inter Milan pada 2019. Bersama Conte, Lukaku membantu Inter menamatkan dominasi Juventus dalam Serie A sambil mencipta gandingan serangan berbahaya bersama-sama Lautaro Martinez.
Kini sekali lagi bersama Conte di Napoli, Lukaku dalam usaha membantu kelab itu untuk membawa pulang gelaran Serie A ke bumi Naples.
Chris Smalling
Merupakan salah seorang pemain muda yang dibawa naik oleh Sir Alex Ferguson, peranan Chris Smalling bagaimana pun semakin kecil dari tahun ke tahun di United pasca era pengurus tersebut.
Oleh itu, dia meninggalkan United pada 2019 walaupun pada mulanya sebagai pemain pinjaman akibat gajinya yang terlalu tinggi dan sukar untuk ditanggung oleh AS Roma.
Smalling meraih gelaran UECL bersama Roma. — Agensi
Bersama Roma, Smalling mendapatkan semula rentaknya dan permainannya semakin konsisten. Malah, dia turut disayangi oleh penyokong kelab itu sebagai antara pemain pertahanan berkualiti.
Smalling berjaya membantu Roma untuk memenangi gelaran Eropah pertama mereka apabila menjuarai UEFA Europa Conference League (UECL) pada 2022.
Scott McTominay
Satu lagi nama yang turut meninggalkan United untuk beraksi di Itali adalah pemain Scotland, Scott McTominay.
McTominay merupakan nama terkini yang meninggalkan United untuk Itali apabila menyertai kelab itu pada awal musim 2024/2025. Sebagai rekod, ia merupakan kelab kedua pemain kelahiran United Kingdom itu dalam kariernya selepas hadir menerusi sistem akademi United.
McTominay mencuri hati penyokong Napoli dengan persembahan mantapnya di bahagian tengah.
Masih belum meraih kejuaraan di luar United, namun McTominay mencuri perhatian penyokong Napoli apabila persembahannya menghasilkan empat gol dan tiga bantuan gol dalam kesemua kejohanan buat kelab itu.
Kini bersama-sama Lukaku dan Conte, McTominay berpeluang mencipta sejarah membawa pulang gelaran Serie A buat seluruh penyokong Napoli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram