Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC


  • Podium
  • Isnin, 23 Dis 2024

Kesebelasan utama Perak ketika bertemu Sri Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2024 di Stadium Temerloh pada Ahad. — Perak FC

PERAK FC sah tersingkir dari kejohanan Piala Malaysia 2024 selepas seri 3-3 menentang Sri Pahang FC menerusi agregat 3-4 pada suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang pada Ahad (22 Disember).

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah gagal mengulangi kejayaan tahun lalu untuk layak ke pusingan separuh akhir sekali gus menghadiahkan kenangan manis buat dua pemain import yang telah tamat kontrak mereka bersama The Bos Gaurus.

Menerusi pengumuman rasmi berserta sebuah hantaran video ucapan perpisahan, perlawanan menentang Sri Pahang adalah yang terakhir buat Jesper Nyholm dan Luka Milunovic.

BACA LAGI: [VIDEO] Bawa aura Serbia, bintang Buriram United, ex-Liverpool mampu bantu Kinoshi di Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Gergasi Merah dabik dada prestasi ‘Kyle Walker Selangor’ bawah Katsuhito Kinoshi

Pemergian dua pemain import itu mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong Perak yang mengharapkan Jesper untuk terus kekal bersama pasukan selepas mempamerkan aksi luar biasa ketika berdepan Sri Pahang.

“Dah ‘on form’, pasangan dengan Shivan (Pillay) tiba-tiba umum perlawanan terakhir. Konflik apa yang sedang berlaku dalam pasukan sekarang?” soal Mohamad Amirul.

“Dah ‘mantap’ nak pergi pula? Motta (Luis) nampak tak menyakinkan,” luah Mein Yusoff.

“Jesper banyak peningkatan, boleh kekal bersama Perak,” kongsi Zulkefli Zizo.

Bersama Perak, Jesper telah tampil lebih 25 penampilan dan kembali mempamerkan aksi yang bagus selepas mengalami beberapa siri kecederaan di kem Sang Seladang.

Manakala pemergian Luka pula bagai berita gembira buat penyokong Perak selepas aksi yang ditampilkan pemain import Serbia itu kurang memberikan impak pada barisan serangan The Bos Gaurus.

Dalam 12 penampilan, Luka hanya merekodkan dua jaringan dan tiga bantuan gol dalam saingan Liga Super.

“Nama pun Luka banyak buat penyokong Perak terluka. Apa-apa pun terima kasih, selepas ini cari pemain import yang padu,” kata Noor Azmirr.

“Terima kasih Luka, harap anda berjaya dengan pasukan baharu di Eropah,” ujar Bolasepak Perak.

“Elok pun (Luka) pergi, boleh cari pemain (import) lain,” ujar Abdul Rahman.

Selepas pengumuman rasmi dari pihak pengurusan Perak, kini Yusri hanya memiliki lima prmain import iaitu Luiz Motta, Clayton da Silva (Brazil), Luciano Guaycochea (Argentina), Adilet Kanybekov (Republik Kyrgyz) dan Sunday Afolabi (Nigeria).

Sebelum ini, Perak terlebih dahulu mengumumkan perpisahan dengan pemain import Korea Selatan, Lee Tae-min yang baru menyertai The Bos Gaurus awal musim ini dari kelab Korea Selatan, Busan IPark.

Untuk rekod, Perak kini menduduki tangga ketujuh dalam Liga Super dengan mencatatkan lapan kekalahan, tiga seri dan lima kemenangan dalam 16 perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram