Dimalukan Bournemouth, Amorim mengaku semuanya sukar buat Man United


  • Podium
  • Isnin, 23 Dis 2024

United berada di 'bottom half' EPL selepas kalah kepada Bournemouth. — Agensi

KEHADIRAN Ruben Amorim di Manchester United setakat ini masih belum memberikan impak yang diharapkan oleh para penyokong.

Walaupun digembar-gemburkan mampu memberikan perubahan, tetapi Amorim masih sukar untuk membawa United naik ke separuh atas (top half) Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lebih malang, United menutup cerita 2024 dengan penuh malu apabila mereka tumpas 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri pada Ahad.

BACA LAGI: Makin tersisih? Rashford digugurkan Amorim buat kali ke-3 berturut-turut

BACA LAGI: Tiada tempat untuk yang tidak bersedia 'berkorban' di bawah Amorim — Diogo Dalot

Kekalahan itu nyata sukar untuk diterima oleh Amorim dengan dia berasakan segalanya tampak sukar buatnya dan penyokong United.

"Dalam masa ini, semuanya sukar. Di kelab seperti Manchester United, untuk kalah 3-0 di laman sendiri, memang sukar untuk sesiapa pun.

"Benar sekali para penyokong sudah kecewa dan letih. Anda boleh rasakan ia di dalam stadium sejak awal permainan lagi. Dari sepakan gol pertama, Andre Onana terfikir apa nak dibuat dan menolak pemain lain, dan itu membuatkan semua orang resah.

"Saya faham perkara itu, tapi kita semua perlu hadapinya," jelas Amorim.

Kekalahan itu meletakkan United di kelompok 10 terbawah EPL buat pertama kali sejak musim 1989/1990. Satu rekod yang semestinya tidak mahu diulangi semula buat The Red Devils.

United kini berada di tangga ke-13 dengan mengumpul 22 mata - 9 mata dipisahkan dengan Nottingham Forest yang menduduki tempat keempat liga.

Januari dilihat sebagai bulan penting untuk United membaiki prestasi apabila mereka boleh membawa muka baharu pada jendela perpindahan tersebut.

Namun begitu, mereka dilihat perlu melepaskan beberapa nama dahulu dengan Marcus Rashford, Antony dan Casemiro mendahului senarai pemain tidak dikehendaki di United. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram