Kontroversi SARC 2024: Masih harap yuran penyertaan ‘red flag’ terbesar, pemegang taruh perlu campur tangan — Pengadil senior


  • Podium
  • Isnin, 23 Dis 2024

Pengadil SARC 2024 (jersi merah jambu) masih tidak mendapat bayaran penuh daripada penganjur. — Facebook/Azhari Yusop

KEBERGANTUNGAN kepada yuran penyertaan pasukan yang bertanding semata-mata dilihat sebagai punca kepada masalah berbangkit di kejohanan ragbi amatur, Shah Alam Rugby Challenge (SARC) 2024 yang tular.

Dalam laporan Majoriti sebelum ini, kejohanan tersebut mendapat kritikan hebat oleh ibu bapa peserta kerana apabila pertandingan tiga hari bermula Jumaat itu menjadi acara berkelah pada Ahad.

Malah timbul isu apabila pengadil yang ditugaskan untuk mengadili setiap aksi kejohanan tersebut masih lagi belum mendapatkan bayaran daripada penganjur.

BACA LAGI: Penganjur SARC akui kesilapan teknikal, pulangkan wang pasukan U14, U16

BACA LAGI: Kejohanan ragbi 'bertukar' piknik tepi padang, SARC 2024 dibatalkan penganjur, didakwa gagal lunas bayaran pengadil

3082833

Antara pasukan muda yang menyertai SARC 2024. — Facebook/Zanita Hazliana

Menurut perkongsian salah seorang pengadil pertandingan yang dikenali sebagai Haji Tom, kejadian yang dianggap sebagai red flag itu memerlukan campur tangan daripada pemegang taruh kejohanan.

Kata Haji Tom, terdapat tiga pihak yang perlu ambil peduli isu yang berbangkit iaitu Tigre Arena, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Perbadanan Menteri Besar (MBI).

"Penglibatan Tigre Arena pastinya merujuk kepada lokasi pertandingan dan MBSA serta MBI, itu saya tak mahu kata banyak. Saya jangakakan kedua-duanya terlibat secara langsung dan ada bajet yang tersusun untuk kejohanan.

"Maka saya beranggapan hanya yang perlu dijelaskan kepada semua yang terlibat dalam pertandingan ini kerana penganjuran gagal dengan cukup teruk.

"Tetapi andai kata sebaliknya yang berlaku, termasuklah tanpa sebarang dana daripada MBSA dan MBI, maknanya penganjur hanya bergantung kepada yuran penyertaan dan itu menjelaskan apa yang berlaku.

"Yuran padang, yuran perubatan kepada pihak ambulans, hadiah serta aspek pengurusan pertandingan sepatutnya menjadi asas kepada perancangan bajet. Sepatutnya ia boleh balik modal jika bergantung kepada yuran pertandingan semata-mata, tetapi yang ini nampak susah," ujarnya.

Haji Tom turut menjelaskan seramai 26 pengadil yang ditugaskan untuk kejohanan itu menerima bayaran pada Jumaat tetapi masih ada yang tertunggak.

Namun begitu, penganjur berdiam diri apabila ditanya mengenai pembayaran baki tunggakan kepada para pengadil sebelum kejohanan tersebut dihentikan pada Ahad.

Majoriti ada mendapatkan komen daripada pihak Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berkenaan isu ini namun masih belum memperoleh maklum balas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram