'Mungkin lepas ini lebih tenang,' Neow Choo Seong tinggalkan jawatan GM Perak berkuat kuasa Januari depan


  • Podium
  • Isnin, 23 Dis 2024

Choo Seong akan tinggalkan Perak pada 1 Januari 2025.

PENGURUS Besar Perak FC, Neow Choo Seong memilih untuk meninggalkan kelab Liga Super itu berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Keputusan itu diumumkan olehnya menerusi siaran Facebook pada Isnin dengan Choo Seong turut melepaskan jawatannya sebagai pengarah di kelab itu.

Choo Seong yang tugasnya lebih kepada pembangunan akar umbi turut menguruskan skuad utama sejak Oktober lalu.

BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC

BACA LAGI: Mutu pengadilan disebut punca Perak berputih mata di Temerloh, kempunan muncul semifinalis Piala Malaysia

"Dengan berat hati ingin saya mengumumkan bahawa saya tidak berhasrat untuk melanjutkan perkhidmatan selaku Pengurus Besar dan juga akan melepaskan jawatan Pengarah bersama Perak FC, berkuat kuasa 1 Januari 2025.

"Sejak awal pembabitan saya bersama Perak FC pada 2023, tanggungjawab dan fokus saya memang hanya tertumpu kepada pembangunan bakat-bakat muda di peringkat akar umbi," katanya.

Sepanjang bersama Perak, Choo Seong membantu kelab itu untuk membangunkan projek akar umbi dan pencarian bakat seperti Grassroots Playday Festival, Piala Cheetah, dan Piala XOX dan Pusat Latihan Daerah (PLD) yang merupakan usaha bersama-sama kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah seluruh negeri.

Choo Seong turut membantu kepada penubuhan akademi buat Perak FC yang jelas membantu mereka menghasilkan bakat muda dengan lebih baik.

"Pada awal tahun ini, kita juga telah menubuhkan Akademi Bola Sepak Perak FC untuk melatih bakat-bakat muda di peringkat umur bawah 15 tahun.

"Walaupun rata-rata pemain yang bersama Akademi Perak FC sebelum ini tidak mempunyai asas dan kemahiran yang tinggi, mereka telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sehingga muncul Juara kategori Plate dalam Perlawanan Jemputan Antarabangsa B-12 Tahun baru-baru ini," jelasnya.

Kini, Choo Seong memilih untuk bertenang dan menikmati bola sepak Perak hanya sebagai penyokong, sama seperti peminat The Bos Gaurus yang lain.

"Walaupun saya hanya terlibat dengan pasukan utama selepas ketiadaan bekas CEO pada bulan Oktober tahun ini, namun ia sudah cukup untuk memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk lebih memahami isu dan masalah industri bola sepak tempatan.

"Saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik dan bersama dengan para penyokong serta pasukan Perak FC. Mungkin selepas ini lebih tenang untuk saya menonton setiap perlawanan membabitkan pasukan Perak FC dari tempat penyokong dan bersama dengan para penyokong," ulas Choo Seong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram