KEMARAAN Perak FC dalam kempen Piala Malaysia 2024/25 berakhir apabila mereka disingkirkan di peringkat suku akhir kepada Sri Pahang FC dengan agregat 3-4 susulan keputusan seri di Stadium MP Temerloh, Pahang pada Ahad.
Dalam perlawanan itu, skuad Tok Gajah sememangnya beruntung apabila mereka dihadiahkan dua sepakan penalti dengan kedua-duanya disempurnakan penyerang sayap, Manuel Hidalgo.
Namun, skuad The Bos Gaurus (TBG) yang hadir sebagai pasukan pelawat tidak terbeban apabila masih memberikan tentangan dengan tiga gol yang dijaringkan membuktikan kesungguhan mereka.
BACA LAGI: Dua bintang akan tiba? TMJ cadang Bergson, Hidalgo penyelesaian peledak Harimau Malaya
Jaringan Wan Zack Haikal Wan Noor dan Jesper Nyholm pada babak pertama diikuti gol Ahmad Daniel Hakimi pada minit ke-54 yang menyaksikan kedudukan terikat 3-3 dalam pertembungan epik itu.
Bagaimanapun, percubaan demi percubaan yang dilancarkan tidak membuahkan hasil apabila jaringan keempat yang diperlukan tidak kunjung hadir, sekali gus menyaksikan mereka tersingkir.
Hidalgo (kanan) mencetak hatrik untuk memastikan kemaraan buat pasukannya. — Facebook/MFL
Penyokong mampu tersenyum puas melihat persembahan di Stadium MP Temerloh itu, tetapi masing-masing sedikit berang akan mutu pengadilan apabila dua sepakan penalti diberikan kepada Sri Pahang FC.
"Sedih, terhenti sudah aksi Perak FC. Tetapi, masih tidak berpuas hati dengan penalti pertama. Kalau dilihat di kaca televisyen, tiada sentuhan langsung ke atas Kpah Sherman," kata Nurkasih Mia.
Kredibiliti pengadil turut dipersoalkan apabila skuad TBG berasakan mereka perlu diberikan sepakan penalti, namun perkara itu langsung tidak disemak menggunakan video bantuan pengadil (VAR).
"Kenapa tidak digunaakn VAR ketika Daniel Hakimi dijatuhkan (Sergio) Aguero? Nampak sangat pengadil tidak berkaliber sehinggakan buatkan Perak FC amat kecewa," kata Kamarun Nizam.
Sri Pahang FC selepas ini akan berdepan Sabah FC atau Kuching City FC dengan pasukan yang berentap di separuh akhir hanya akan ditentukan selepas pertemuan suku akhir antara mereka pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram