Sabah tempang jumpa JDT tanpa bintang import


  • Podium
  • Rabu, 25 Dis 2024

Peres (kanan) akan terlepas aksi bertemu JDT pada Januari kelak. — Facebook/Sabah FC

KETIKA ini, kesemua 13 kelab Liga Super mengambil kesempatan berehat dengan saingan tidak diadakan sekitar dua minggu.

Ia membolehkan kesemua kelab kembali menyusun strategi untuk tampil lebih ampuh, dan bagi pemain-pemain yang cedera, masa tambahan untuk pulih.

Namun begitu, bagi pemain Sabah FC, Gabriel Peres akan berehat lebih lama walaupun liga sudah bersambung.

BACA LAGI: The Rhinos muncul semifinalis Piala Malaysia, Stano mahu pemain Sabah nikmati cuti Krismas puas-puas

BACA LAGI: Prestasi lampau jadikan Pahang pilihan berbanding Sabah — Legenda The Rhinos

Pemain pertahanan daripada Brazil itu dilaporkan tidak akan beraksi untuk Sabah apabila mereka turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebaik liga bersambung pada 11 Januari 2025 akibat digantung.

Peres sebelum ini sudah mengutip tiga kad kuning dan perlu menjalani penggantungan automatik satu perlawanan.

Memetik laporan laman Rhinos Pride, ketiadaan pemain berusia 27 tahun itu dijangka akan diisi oleh seorang lagi pemain pertahanan iaitu Haris Stamboulidis.

"Pemain pertahanan Sabah, Gabriel Peres disahkan tidak dapat bermain dalam perlawanan antara Sabah dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Januari 2025.

"Haris Stamboulidis dilihat sebagai antara calon yang akan menggantikan Peres," kata laman tersebut.

Peres sebelum ini beraksi untuk Sabah ketika mereka terikat 0-0 bertemu Kuching City FC dalam suku akhir Piala Malaysia. Sabah bagaimana pun layak ke separuh akhir dengan agregat 1-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram