KEMENANGAN secara agregat 1-0 ke atas Kuching City FC sudah cukup untuk menghantar Sabah FC ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir berbuat demikian adalah pada dua edisi lalu.
Pencapaian itu sudah tentu diraikan penyokong kelab Borneo tanah air tersebut apabila masing-masing mula memasang cita-cita untuk menyaksikan pasukan tersebut berentap di perlawanan akhir.
Perasaan tersebut turut dikongsikan pengendali baharu mereka, Martin Stano yang sempat mengingatkan anak-anak buahnya melupakan jadual padat bakal dihadapi dan menikmati tempoh percutian terlebih dahulu.
BACA LAGI: Prestasi lampau jadikan Pahang pilihan berbanding Sabah — Legenda The Rhinos
BACA LAGI: Isu gaji bakal bunuh liga, bekas tonggak Sabah saran elak boikot latihan
Stano memberikan tempoh berehat panjang buat anak-anak buahnya. — Facebook/Sabah FC
"Pertama sekali, kita perlu berehat. Marilah menyambut Krismas bersama yang tersayang. Pemain yang baru pulang dari skuad kebangsaan masih penat dengan tugas berat yang dipikul.
"Mereka sibuk beraksi buat negara dan kelab, terlalu banyak perlawanan sepanjang tempoh dua minggu. Jadi, masing-masing perlu berehat dan pemain hanya akan pulang pada Ahad depan," katanya.
Sepanjang kempen Piala AFF minggu lalu, Harimau Malaya dibarisi empat bintang Sabah FC, iaitu Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Darren Lok yang hampir kesemua daripada mereka tampil lebih daripada satu perlawanan.
Tanggungjawab tersebut sememangnya memenatkan, namun gagal membuahkan hasil kerana skuad kebangsaan tidak berkesempatan melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas hanya berada di kedudukan ketiga Kumpulan A.
Dominic Tan merupakan antara pemain yang sibuk kebelakangan ini. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, bagi pemain Sabah FC, kekecewaan itu ditebus kerana mereka berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia hasil kemenangan dalam suku akhir pertama ke atas skuad The Cats.
"Kami menjangkakan perlawanan sukar berdepan Kuching City FC walaupun kelebihan milik kami selepas pertemuan pertama. Pada babak pertama, kami melancarkan serangan demi serangan, tetapi gol gagal dicetak.
"Kami kemudian mengambil pendekatan bertahan pada separuh masa kedua dan akhirnya berjaya memastikan keputusan 0-0 dan ia membawa kami ke pentas separuh akhir," kata Stano lagi.
Selepas ini, tugasan berat menanti pasukan bimbingan Stano apabila akan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat lawan bagi aksi Liga Super sebelum menerima kunjungan Sri Pahang FC untuk perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram