Kecundang aksi pertama, Safawi Rasid tagih komitmen 100 peratus TFC kalahkan kelab Vietnam


  • Podium
  • Selasa, 24 Sep 2024

Safawi (kanan) mahu mendapatkan tiga mata pertama Terengganu dalam Piala Shopee.

BINTANG Terengganu FC, Safawi Rasid menagih komitmen 100 peratus daripada dirinya dan rakan sepasukan dalam misi membantu kelab itu meraih kemenangan pertama di Piala Shopee.

Selepas kalah aksi pertama di laman sendiri kepada wakil Kemboja, Svay Rieng, Safawi begitu mahukan tiga mata buat Terengganu apabila melayan kunjungan wakil Vietnam, Dong A Thanh Hoa pada Rabu.

Bercakap pada sidang media pra-perlawanan pada Selasa, Safawi sanggup menolak ke tepi rekod peribadinya sebaliknya mahu memberikan kemenangan buat pasukan.

BACA LAGI: VAR minit akhir 'ragut' kebangkitan Terengganu elak dimalukan kelab Kemboja

BACA LAGI: Pertembungan 'reunion' ex import, Svay Rieng bawa rekod cemerlang jumpa Terengganu

"Saya tidak memikirkan tentang jaringan peribadi atau pencapaian peribadi, apa yang saya inginkan adalah pasukan kita berjaya mendapatkan kemenangan pada malam esok (Rabu).

"Pentas ini sangat penting buat Terengganu FC sebagai wakil Malaysia di kejohanan ini, Insya-ALLAH kami berusaha berikan 100 peratus komitmen untuk mendapatkan tiga mata pertama pada Rabu," kata Safawi.

Dalam masa yang sama, Safawi turut mengharap penyokong Terengganu akan tampil memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Bagi Safawi, kehadiran ribuan penyokong skuad Penyu boleh menguatkan lagi semangat mereka dalam memburu kemenangan.

"Apa yang saya betul-betul harap adalah para penyokong dapat beramai-ramai hadir memberikan sokongan untuk kami semua kerana mereka mampu meningkatkan semangat saya dan rakan-rakan untuk berikan aksi terbaik dalam perlawanan ini," ujar Safawi.

Dong A Thanh Hoa kini memimpin kumpulan A dengan mengutip tiga mata manakala Terengganu ditempat kelima tanpa sebarang mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram