[VIDEO] Perjelas insiden amuk di 'dressing room', ex import TFC dedah ayah tak restu main bola, cari duit kerja kedai runcit


  • Podium
  • Selasa, 24 Dis 2024

David (hujung kanan) pernah mewakili Terengganu pada musim 2021 sebelum kembali ke Indonesia bersama Persib Bandung.

BEKAS import Terengganu FC, David da Silva mengakui ayah kandungnya tidak membenarkan dia bermain bola sepak secara profesional kerana perlu membantu keluarga untuk mencari wang ketika usia remajanya.

Perkara itu didedahkan oleh David dalam satu episod temubual di Youtube Persib TV yang dimiliki oleh kelab Indonesia, Persib Bandung baru-baru ini.

Pemain berusia 35 tahun itu kini mewakili Persib Bandung sejak meninggalkan Terengganu pada 2021 dan telah mencatatkan 71 gol dalam 101 penampilannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bawa aura Serbia, bintang Buriram United, ex-Liverpool mampu bantu Kinoshi di Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Selain Bergson da Silva, 4 pemain lulus peraturan FIFA boleh bantu Peter Cklamovski perkuat Harimau Malaya tahun depan

Menurut David, sebelum bergelar pemain bola sepak profesional, dia menghabiskan banyak masa bekerja di kedai runcit untuk meraih pendapatan bagi meringankan beban keluarga.

"Saya lahir di Guarulhos, Brazil. Ketika saya berusia 17 atau 18 tahun saya sudah kehilangan ayah.

"Waktu itu berlaku ketika saya mula bermain bola sepak secara profesional. Ayah tidak suka saya bermain bola sepak kerana saya perlu bekerja untuk membantu keluarga mendapatkan wang.

"Sepanjang masa remaja saya harus bekerja. Jadi saya memulakan karier profesional selepas ayah meninggal dunia.

"Banyak bermain bola sepak di jalanan adalah saat-saat terbaik buat diri saya kerana dapat bebas bermain, ia kenangan indah bersama rakan-rakan," katanya dalam episod Perjalanan Karier David da Silva, Sampai Menjadi Bintang di PERSIB.

Tambahnya lagi, dia bersama isteri mempunyai cara unik untuk memilih kelab selepas mendapat banyak tawaran yang mana keputusan undian itu membuka lebaran baharu buat dirinya dalam Liga Indonesia.

"Saya mempunyai tiga pilihan untuk pindah (selepas berkelana ke Qatar), Bhayangkara (Presisi Indonesia FC), kelab lain dan salah satu kelab Serie A (liga utama) di Brazil.

"Saya bertanya kepada isteri saya untuk memberikan pandangan dan kami membuat pilihan tersebut menerusi gulungan kertas.

"Kami meminta bantuan Tuhan, pilihan apa yang muncul akan kami terima keputusan tersebut kerana kami berdua perlu buat keputusan untuk pilih salah satu tempat.

"Saya fikir kami memerlukan bantuan Tuhan dan berdoa. Jadi kami menuliskan (nama-nama kelab) lalu menggoncang kertas dan saat itu yang keluar adalah Indonesia, Bhayangkara," jelasnya.

Sementara itu, ketika bercerita mengenai insiden video tular sewaktu dia mengamuk dalam bilik persalinan ketika Persib tewas 2-4 di tangan PSM Makassar pada Julai tahun lalu, pemain kelahiran Brazil itu menjelaskan situasi sebenar.

"Dua kali saya mengamuk dalam bilik persalinan, kami bercakap tentang perkara itu dan kami (pemain) belajar banyak selepas kejadian tersebut.

"Kami (pasukan) berkembang selepas kejadian itu, banyak perkara yang berubah juga selepas insiden tersebut," ujarnya

Untuk rekod, David pernah beraksi bersama Terengganu pada musim 2021 sebelum kembali ke Indonesia selepas tidak mampu menambat hati penyokong-penyokong Sang Penyu.

Bersama Terengganu, pemain berketinggian 1.85 meter itu merekodkan tujuh jaringan dalam 15 penampilan dan satu bantuan gol di bawah kendalian Nafuzi Zain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram