Bagai melukut di tepi gantang, Amorim terus peram Rashford


  • Podium
  • Khamis, 19 Dis 2024

Rashford (kiri) dijangka akan tinggalkan United walaupun Amorim (kanan) berasakan dia adalah pemain berkualiti.

SELEPAS semakin ketara yang masa depannya di Manchester United kian pudar, Marcus Rashford ibarat melukut di tepi gantang apabila sekali lagi disisihkan oleh Ruben Amorim.

Sebelum ini, namanya bersama pemenang Anugerah Puskas FIFA 2024, Alejandro Ganarcho disisihkan ketika United bertandang ke Stadium Etihad, Manchester sewaktu mereka menewaskan Manchester City pada Isnin.

Amorim sebelum ini memberikan gambaran yang Rashford akan diberikan peluang beraksi sewaktu United bertandang ke London untuk bertemu Tottenham Hotspur dalam tugasan Piala Carabao.

BACA LAGI: Sedia hadapi cabaran baharu, Rashford tak kecil hati diarah tinggalkan United

BACA LAGI: Masa makin singkat buat Rashford, Man United buru penyerang berkelas dunia sebagai pengganti

skysports-marcus-rashford-manchester-united_6473778

Rashford tidak akan beraksi bertemu Tottenham.

Namun begitu, laporan terbaharu di England mendapati pemain itu terus disisihkan oleh Amorim selepas dia tidak dibawa ke London dalam usaha United untuk layak ke separuh akhir piala tersebut.

Hal ini kerana, Rashford dilaporkan mengalami sakit dan tidak dapat beraksi untuk perlawanan tersebut. Malah, dia turut dilaporkan sudah terlepas sesi latihan.

Selain Rashford, United turut tidak akan membawa Mason Mount yang mengalami kecederaan ketika kemenangan 2-1 United ke atas City.

Dengan ketiadaan Rashford bertemu Tottenham, ia menguatkan spekulasi mengatakan masanya di United semakin suntuk dan mungkin meninggalkan kelab pada Januari kelak.

Sungguh pun begitu, Amorim tidak menafikan yang sumbangan Rashford yang boleh menjadikan United pasukan lebih baik.

"Saya cuma mahu menang dan jadikan pasukan lebih baik, jadi kami akan jadi lebih baik bersama Marcus Rashford. Kami cuba perkara berbeza untuk kembalikan dia ke tahap terbaik yang pernah dikecapinya pada masa dahulu.

"Kelab seperti ini memerlukan bakat besar dan dia adalah bakat besar jadi kami hanya perlukan dia untuk beraksi di tahap terbaik dan itulah fokus saya. Saya cuma mahu menolong Rashford," ujar Amorim. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram