TINDAKAN sekumpulan lelaki dipercayai penyokong bola sepak yang bertindak ganas bergaduh sesama sendiri dan merosakkan kenderaan awam di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Jumaat mengundang kecaman hebat daripada orang ramai.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas perlawanan Malaysia lawan Singapura pada saingan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Video insiden yang tular di laman X (Twitter), @elybaeraq menunjukkan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap harta awam, termasuk memukul kenderaan pengangkutan awam.
BACA LAGI : [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
Dalam video berdurasi kurang seminit itu juga memaparkan sekumpulan lelaki tersebut dilihat bergaduh sesama sendiri.
Lebih menggeramkan lagi, mereka terus dilihat memaki hamun serta bertumbuk walaupun cuba dileraikan seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian.
Pemilik laman X berkenaan turut meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu, menyifatkannya sebagai mencemarkan imej Malaysia.
"Aku terserempak dengan penyokong bola sepak Malaysia yang merusuh di TBS tadi (Jumaat).
"Penyokong yang pelik ini boleh tak bertenang. Hanya perlawanan bola dan adat kalau tak menang.
"Mereka rosakkan kenderaan awam buat aku jadi marah. Bro, itu bukan harta bapak kau. Buat malu Malaysia merusuh macam ini," tulisnya.
Wanita itu turut meluahkan rasa takut apabila sekumpulan lelaki tersebut menyanyi beramai-ramai ketika dia dalam perjalanan menuju ke ruang lobi TBS.
Seorang lagi warga maya, @Damien_X menyelar tindakan tersebut, menyatakan bahawa perbuatan ganas itu tidak mencerminkan semangat kesukanan sebenar.
"Adab dan disiplin adalah sebahagian daripada budaya sukan. Apa yang berlaku di TBS ini amat memalukan.
"Sudah-sudahla bawa budaya 'hooligans' bola sepak dalam negara. Sudah 2024 tetapi masih lagi berperangai macam ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian daripada Lans Koperal PB Hafsan (pengadu) pada pukul 3.40 pagi Sabtu.
Susulan itu, polis sedang mengesan satu kumpulan penyokong bola sepak yang melakukan rusuhan di platform LRT Stesen Bandar Tasik Selatan Sungai Besi, di sini, tengah malam tadi.
Katanya, pengadu menaiki tren dari Stesen Bukit Jalil menghala ke Sentul Timur lebih kurang 12.03 tengah malam.
"Ketika tren tiba di platform Stesen Bandar Tasik Selatan, terdapat satu kumpulan penyokong bola sepak telah keluar daripada tren dan berlakunya pertengkaran di antara penyokong kumpulan lain menyebabkan pergaduhan berlaku.
"Kemudian, dua kumpulan penyokong bola sepak anggaran 20 hingga 30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Susulan kejadian itu, bahagian pintu cermin tren mengalami kerosakan dan menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit.
"Pengadu bersama anggota bertugas bertindak meleraikan pergaduhan yang berlaku diantara dua kumpulan.
"Keadaan menjadi terkawal setelah pintu tren tutup dan tren terus beredar dari tempat kejadian," jelasnya.
Ujarnya, polis bantuan bersama anggota bertugas PB Hakif Danish mengiring penyokong tersebut keluar dari Stesen Bandar Tasik Selatan dengan selamat.
"Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan.
"Kita mohon mereka yg terlibat untuk tampil bantu siasatan," tegasnya.
Pada Jumaat, media melaporkan misi skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Asean 2024 hancur selepas seri 0-0 bertemu Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A itu.
Keputusan tersebut menyaksikan Singapura kekal selaku naib juara kumpulan dengan mengutip 7 mata, manakala Malaysia terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan lima mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram