IMPIAN Harimau Malaya untuk mara ke pusingan separuh akhir Piala Asean 2-24 atau Piala AFF tidak kesampaian selepas seri 0-0 bertemu Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kemaraan Singapura ke aksi semifinal kerana berhasil menjadi naib juara kumpulan dengan mengutip tujuh mata, manakala Malaysia terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan lima mata.
Walaupun misi negara gagal diteruskan namun masih ada perkara positif yang dapat dilihat dari beberapa perlawanan Piala AFF tahun ini. Misalnya, beberapa pemain tempatan semakin mendapat tempat dalam kalangan penyokong.
BACA LAGI: Bukan tugas mudah, anak kelahiran Sarawak sedia bantu Harimau Malaya benam Singapura
BACA LAGI: [VIDEO] 'Maaf Malaysia', Haqimi Azim beri bayangan Harimau Malaya akan bangkit
Salah seorang wajah baharu yang menyinar bersama skuad kebangsaan ialah bek kanan Kuching City FC, Jimmy Raymond selepas pemain berusia 28 tahun itu masih memberi persembahan memuaskan dengan dia beberapa kali mematahkan serangan lawan.
Prestasi semasa anak jati Bintulu itu mengingatkan penyokong kepada bintang Sarawak yang pernah dan masih memeriahkan industri bola sepak negara;
1) Joseph Kalang Tie
Salah seorang nama besar dalam bola sepak Sarawak ialah Joseph Kalang Tie. Pemain itu berpengalaman beraksi bersama pasukan Sarawak, Terengganu FC (TFC), Pahang dan Kuching City sebagai kelab terakhirnya pada musim lepas.
Pemain yang beraksi di posisi tengah menyerang itu sering menjadi igauan pertahanan lawan ekoran kelincahannya serta gerakan-gerakan liciknya banyak membantu pasukan diwakili menghasilkan gol.
Bukan hanya cemerlang dengan kemahiran atas padangnya, tonggak kelahiran Miri itu juga memberi pengaruh positif untuk rakan sepasukannya apabila sering menaikkan moral para pemain muda ketika beraksi untuk The Cats pada musim lepas.
Bersama Harimau Malaya, Joseph yang kini berusia 37 tahun itu pernah memberi aksi sukar dilupakan ketika hantaran dan gelecekannya menentang Tottenham Spur pada 2015 hampir memberi keputusan seri sebelum Malaysia tewas 1-2.
2) Kembar Sari
Dua pemain legenda Malaysia dan Sarawak iaitu Ramos Sari dan Ramles Sari pernah menggegarkan arena bola sepak tanah air pada era 90-an apabila kedua-duanya merupakan watak penting membangunkan bola sepak negeri kelahiran mereka.
Ramos dan Ramles atau lebih dikenali sebagai Kembar Sari merupakan nadi utama serangan skuad Bujang Senang pada suatu ketika dahulu apabila mereka membantu Sarawak menjadi Naib Juara Piala FA 2001, Naib Johan Piala Malaysia 1999, Johan Piala Sumbangsih 1998 dan Juara Liga Perdana 1997.
Untuk skuad kebangsaan pula, Ramos merupakan sebahagian daripada pemain utama skuad kebangsaan yang muncul sebagai naib juara Kejohanan Pesta Bola Merdeka pada tahun 2000.
Berbeza dengan kembarnya, Ramles tidak pernah mewakili Malaysia tetapi jaringan golnya ketika perlawanan akhir Sarawak tewas 1-2 kepada Brunei bagi aksi Piala Malaysia 1999 pasti akan dikenang oleh sampai bila-bila.
3) Dion Cools
Dion Johan Cools lebih dikenali sebagai pemain warisan Harimau Malaya selepas bek tengah itu diperkenalkan sebagai tonggak baharu skuad kebangsaan dan melakukan debut pada musim 2021.
Namun, pemain berusia 28 tahun tersebut juga dianggap sebagai salah seorang permata Sarawak susulan ibunya berasal dari Kuching dan ayahnya pula merupakan seorang warganegara Belgium.
Meskipun pemain kelahiran Kuching itu tidak pernah mewakili mana-mana pasukan domestik tanah air namun jasanya untuk Harimau Malaya sejak 2021 wajar menjadikannya Dion Cools sebaris bintang Sarawak yang lain.
Bukan hanya mampu beraksi sebagai tonggak pertahanan, pemain Buriram United itu juga boleh diletakkan di bahagian hadapan dan buktinya, Dion Cools telah mencetak empat gol selepas tampil dalam 31 aksi buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram