PERLAWANAN Liga Wanita Nasional 2024 antara Selangor FC dan Malaysian University FT (MUFT) menyaksikan kedua-dua pasukan meraih keputusan seri 1-1 dalam aksi yang berlangsung pada Sabtu.
Pada perlawanan babak pertama yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu menyaksikan aksi yang cukup seimbang apabila tiada jaringan berjaya dihasilkan.
Meskipun melakukan serangan bertali arus ke pintu gawang lawan masing-masing, nampaknya benteng pertahanan kedua-dua pasukan cukup memainkan peranan penting apabila berjaya membaca gerakan jentera hadapan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Maaf Malaysia', Haqimi Azim beri bayangan Harimau Malaya akan bangkit
Keputusan 1-1 terhasil di Stadium Merdeka perlawanan menarik antara Selangor FC bertemu Malaysian University FT pada Sabtu.
Selangor FC hampir membuka tirai jaringan pada penghujung perlawanan babak pertama namun benteng pertahanan MUFT berjaya mengekang serangan bertali arus itu.
Permulaan babak kedua menyaksikan Selangor mengorak langkah dalam mengubah corak permainan untuk memburu gol pembukaan.
Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila penyerang Selangor FC, Adrienna Zamzaihiri membuka tirai jaringan sekali gus menyaksikan pasukan Lembah Klang itu mendahului aksi dengan keputusan 1-0.
Enggan pulang dengan tangan kosong, Malaysian University berjaya memanfaatkan kesilapan penjaga gol Selangor, Ezza Ashikin dan benteng pertahanan mereka dengan mudah menyumbat masuk gol penyamaan pada penghujung perlawanan menerusi jaringan Ayuni Anjani.
Selangor yang melakukan serangan balas hampir sahaja meraih gol kedua namun tendangan yang dilakukan oleh kapten pasukan, Ainsyah Murad ditangkap kemas oleh penjaga gawang MUFT.
Memasuki minit-minit akhir aksi di Stadium Merdeka itu, jentera serangan MUFT membuat gerakan yang cukup cantik apabila hampir sahaja meledak gol kemenangan namun berjaya dibaca oleh penjaga gol Selangor, Ezza yang berjaya menafikan peluang keemasan itu.
Keputusan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi satu mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram