DUA gol yang masing-masing dijaringkan Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva dalam pertemuan timbal balik Piala Malaysia meletakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkelebihan berbanding Kuala Lumpur (KL) City FC.
Dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu, skuad kendalian Hector Bidoglio memecahkan kebuntuan pada minit ke-36 selepas Arif Aiman menyempurnakan sepakan penalti.
Tendangan itu disempurnakan selepas pemain sayap berkenaan dikasari Nabil Hakim di dalam kotak penalti dengan semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan keputusan berkenaan.
BACA LAGI: Tak tunggu lama, Arif Aiman 'lepas geram' ledak hatrik lepas digantung 2 aksi
BACA LAGI: 'Insiden 'cabul' Arif Aiman kesalahan ganas', layangan 3 kad merah aksi JDT-Buriram tepat
Arif Aiman membuka jaringan dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, seperti dijangka, peminat bola sepak tanah beranggapan keputusan itu tidak wajar diberikan kerana masing-masing beranggapan JDT terlalu mudah diberikan kelebihan sedemikian.
Tampil mempertahankan skuad Harimau Selatan adalah penyokong mereka sendiri yang berasakan kekasaran dilakukan pemain KL City FC itu wajar dihukum kerana dia tidak menyentuh bola.
Tidak lama selepas itu, JDT terus menghukum benteng skuad Warga Kota apabila penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva melepaskan rembatan deras pada masa kecederaan untuk menggandakan kelebihan mereka.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan merancakkan lagi serangan mereka dengan Bergson sekali lagi menewaskan Azri Ghani apabila pasukannya dihadiahkan sepakan penalti.
Hari bermakna buat tuan rumah disudahkan apabila pada minit ke-62, Juan Muniz menjaringkan gol keempat pasukan, sekali gus menyaksikan JDT memastikan kemaraan ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 6-1.
Skuad Harimau Selatan memalukan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala FA. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Keputusan itu kemudian menjadi usikan dalam kalangan penyokong kelab Selatan tanah air itu kerana ia pernah dicatatkan ketika pasukan itu menundukkan Selangor FC di perlawanan akhir Piala FA 2024.
"JDT memerlukan 180 minit untuk menewaskan KL City dengan jaringan 6-1. Manakala, ada satu pasukan tu hanya memerlukan 90 minit untuk angka jaringan yang sama," kata Zaki Aridan.
"Pecah rekod ini kerana sepanjang 90 minit, JDT hanya gunakan sebelah padang sahaja. Keputusan 6-1, macam deja vu betul ya," kata Muhd Riduan.
"Ini disebabkan KL City berjiran dengan Selangor FC, bagilah dia rasai kedudukan 6-1," kata Bong Steady.
Dalam pertembungan akhir Piala FA musim ini, skuad Harimau Selatan merekodkan keajaiban apabila mencetak kemenangan sedemikian untuk menjulang trofi Piala FA buat tahun ketiga berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram