KELEBIHAN dua gol dimiliki Terengganu FC usai kemenangan 2-0 direkodkan ketika mereka menundukkan Negeri Sembilan FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2024 sedikit sebanyak memberi kelegaan buat mereka.
Ia sekali gus meletakkan pasukan Pantai Timur itu sebagai pilihan untuk mara ke pusingan separuh akhir, lebih-lebih lagi perlawanan selepas ini akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Bagaimanapun, bagi pemain tengah Sang Penyu, kelebihan berkenaan tidak sepatutnya dijadikan alasan buat rakan sepasukannya memandang rendah kemampuan skuad Jang dalam pertemuan timbal balik terbabit.
BACA LAGI: Akram Mahinan dah macam ejen, pelawa bintang Lembah Klang kembali ke Terengganu
BACA LAGI: Selain Sang Penyu, Akram Mahinan kini dalam radar skuad Jang
"Pasukan yang ketinggalan semestinya akan memberikan tekanan dari awal permainan. Oleh itu, kami sepasukan perlu lupakan kita sudah mempunyai bekalan dua jaringan.
"Sebaliknya, kita perlu bertahan dengan penuh disiplin dan menyerang untuk mendapatkan jaringan seterusnya. Kita perlu guna peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk tampil lebih bersemangat untuk mendapatkan kemenangan," katanya.
Skuad Sang Penyu kelihatan yakin untuk mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook/Terengganu FC
Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 14 Disember lalu, Terengganu FC meraih kemenangan 2-0 menerusi jaringan Safawi Rasid serta Nelson Bonilla.
Jaringan itu sudah tentu akan digandakan bagi perlawanan di laman sendiri memandangkan sepanjang musim ini, skuad Sang Penyu memiliki jentera serangan ampuh yang mampu menembusi barisan pertahanan lawan
Malah, benteng pertahanan mereka sudah tentu akan sukar untuk ditembusi skuad Jang yang berdepan isu dalam mencetak lebih banyak jaringan dalam kesemua pertandingan domestik setakat ini.
Bagaimanapun, dengan perlawanan masih berbaki 90 minit, pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali pasti akan mengingatkan pemainnya supaya tidak leka di hadapan penyokong sendiri.
Mereka akan menerima kunjungan skuad bimbingan K Nanthakumar itu pada Sabtu dengan kemenangan atau keputusan seri akan membawa mereka ke separuh akhir Piala Malaysia buat edisi keempat berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram