BARU-BARU ini, bekas pemain tengah kebangsaan, Akram Mahinan membuat kejutan apabila meninggalkan Kuala Lumpur (KL) City FC menerusi satu pengumuman dibuat di Instagram peribadinya.
Perkhabaran berkenaan pastinya cukup mengejutkan penyokong kelab Lembah Klang tersebut apabila tonggak berusia 30 tahun itu menjadi watak penting dalam tempoh kebangkitan pasukan beberapa tahun kebelakangan ini.
Di samping membantu mereka menjuarai Piala Malaysia tiga tahun lalu, anak jati Kulim, Kedah berkenaan juga membuat sumbangan penting ketika skuad Warga Kota melangkah ke pentas akhir Piala AFC 2022.
Jadi, tidak hairanlah apabila hantaran di Instagram Akram dibanjiri kata-kata penghargaan buatnya dengan orang ramai tidak henti-henti mengutuskan dorongan terhadapnya.
Tidak terkecuali memberikan ucapan semangat buatnya ialah bekas rakan sepasukan, Kamal Azizi yang pastinya sukar untuk berpisah dengan pemain tengah bertahan itu.
Perbualan antara Akram dan Kamal Azizi menimbulkan pelbagai spekulasi.
"Jumpa lagi Am, sahabat saya. Miss you," kata pemain pertahanan itu, ringkas.
Bagaimanapun, apa yang menarik mengenai komen tersebut ialah respons Akram yang seakan-akan memberi gambaran bahawa kedua-dua mereka akan kembali bersatu tidak lama lagi.
"Alah, nanti berlatih sama-sama juga," katanya.
Perbualan antara Akram dan Kamal Azizi sememangnya membuatkan ramai peminat bola sepak tanah air tidak senang duduk dengan masing-masing mula berteka-teki mengenai destinasi mereka.
Ketika ini, heboh di media sosial mengatakan Akram bakal menyertai Terengganu FC kerana dia sudah berada dalam radar kelab Pantai Timur tersebut sejak awal musim 2023.
Kamal Azizi memasuki musim keempatnya bersama skuad Warga Kota. — Agensi
BACA LAGI: Akram sah tinggalkan KL City, bakal jadi pengganti Habib di Terengganu?
Kehadirannya mampu mengisi kekosongan baru-baru ini ditinggalkan bekas kapten pasukan, Habib Haroon yang tidak disambung kontraknya selepas tiga musim bersama skuad Sang Penyu.
Bagi Kamal Azizi pula, prestasinya yang memberangsangkan sejak menyertai KL City FC membuatkan ramai penyokong Terengganu FC mula memasang hasrat untuk menyaksikan kepulangannya.
Skuad Sang Penyu yang dikhabarkan bakal kehilangan khidmat bek kanan muda, Azam Azmi Murad mampu meletakkan Kamal di posisi tersebut sementara menggilap pemain lebih muda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram