Awas Harimau Malaya, 3 tonggak Singapura bakal menyusahkan sebab ada pengalaman di tanah air


  • Podium
  • Khamis, 19 Dis 2024

Sokongan 'ekor' Harimau Malaya ditagih bagi aksi terakhir Kumpulan A Piala Asean 2024 antara Malaysia bertemu Singapura. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Malaya akan berdepan tugas getir menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A untuk mara ke separuh akhir Piala Asean 2024 pada Jumaat.

Beraksi di gelanggang keramat skuad kebangsaan pastinya akan memberi kelebihan buat Harimau Malaya untuk meraih kemenangan mudah.

Malaysia pastinya mempunyai peluang untuk mara ke separuh akhir sekiranya berjaya menewaskan Singapura sambil berharap agar Kemboja seri atau tewas bertemu Thailand.

Harimau Malaya bagaimanapun tidak boleh begitu yakin kerana dalam skuad kendalian Tsutomu Ogura, pasukan itu mempunyai beberapa pemain yang pernah beraksi dalam saingan liga domestik yang pasti faham mengenai kualiti skuad kebangsaan.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga tonggak Singapura yang pernah menabur bakti bersama Liga Malaysia (Liga M).

Faris

Faris (kanan) meluangkan dua musim bersama skuad Sang Penyu yang ketika itu di bawah kendalian Nafuzi Zain. — Facebook/Terengganu FC

1. Faris Ramli

Pemain sayap kiri berpengalaman Singapura, Faris Ramli antara pemain yang perlu diawasi skuad kebangsaan dalam aksi akan datang ini.

Hal ini kerana, pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah menabur bakti di Malaysia bermula 2018 dengan beraksi buat PKNS FC, Perlis FA dan Terengganu FC.

Sudah pasti pengalamannya itu dijangka dapat menjadi kelebihan buat Singapura untuk membaca gerakan jentera serangan Harimau Malaya.

Dengan pengalamannya itu, skuad kebangsaan perlu mengawasi pergerakan penyerang berketinggian 1.68 meter itu agar tidak mudah menembusi benteng pertahanan.

Bukan itu sahaja, pertahanan Harimau Malaya perlu merantai pemain yang kini bersama Tampines Rovers tersebut kerana ketajamannya di depan pintu gol dijangka mampu membantu Singapura mendapatkan jaringan.

Untuk rekod, Faris kini mencetak sembilan gol dan sembilan assists selepas 26 perlawanan di peringkat kelab musim ini.

WhatsApp Image 2024-12-18 at 17.22.58

Kapten Selangor FC, Safuwan akan turun beraksi membantu Singapura menentang Malaysia untuk mara ke separuh akhir Piala Asean 2024. — Facebook/Selangorfc

2. Safuwan Baharudin

Safuwan Baharudin yang pernah beraksi dalam saingan Liga M bersama Negeri Sembilan FC serta PDRM FC dan kini buat Selangor FC merupakan bek tengah berpengalaman yang juga boleh beraksi di bahagian tengah.

Safuwan yang juga tonggak Singapura itu terkenal dengan kebolehannya mengawal permainan dan memimpin barisan tengah.

Nama Safuwan juga tidak asing lagi dalam arena bola sepak tanah air apabila dia sudah pun beraksi di Malaysia sejak begitu lama dan Selangor menjadi sinonim buat pemain tersebut.

Pengalaman Safuwan beraksi saingan liga domestik terutamanya dengan kelab Lembah Klang itu pastinya memberi kelebihan dalam menghadapi tekanan perlawanan sengit terutama menentang Malaysia.

Pemain berketinggian 1.81 meter itu memiliki kematangan untuk mengimbangi serangan dan pertahanan serta memberi ketenangan kepada rakan sepasukan di tengah padang.

Dalam pertemuan Singapura menentang Malaysia nanti, pengalaman Safuwan diharapkan menjadi penghubung penting di tengah padang, membantu pertahanan dan melancarkan serangan.

Shakir

Shakir ketika menyarung jersi Kedah musim 2019 mencetak lima gol untuk pasukan tersebut. — Agensi

3. Shakir Hamzah

Shakir Hamzah adalah pemain pertahanan berpengalaman dari Singapura yang dijangka memainkan peranan penting dalam pertemuan menentang Malaysia.

Sebagai pemain pertahanan, Shakir terkenal dengan keupayaannya membaca permainan dengan baik dan menghalang serangan lawan.

Pemain berusia 32 tahun itu memiliki kebolehan dalam menangani situasi berbahaya dan mampu memberi sokongan kepada rakan sepasukan di pertahanan.

Shakir sebelum ini turut mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga M dengan Kedah menjadi pilihan pasukannya ketika itu dan mencetak lima gol pada musim 2019.

Pengalamannya di Malaysia memberi kelebihan dalam memahami gaya permainan pasukan-pasukan tempatan termasuk Malaysia menjadikannya pemain yang perlu diawasi dalam pertemuan tersebut.

Dengan pengalaman antarabangsa dan di liga domestik, Shakir Hamzah dijangka menjadi benteng kukuh untuk Singapura dalam usaha mengekang serangan Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram