Bukan sahaja Hong Wan, pemain Selangor, 2 kelab Pantai Timur juga 'hilang' tanpa berita


  • Podium
  • Rabu, 18 Dis 2024

Kualiti dimiliki Hong Wan dalam skuad Harimau Selatan amat diperlukan, lebih-lebih lagi di peringkat Asia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KETIADAAN pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Hong Wan daripada pasukan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong yang sememangnya merindui kelibatnya.

Dia yang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2021 sememangnya memainkan peranan penting buat skuad Harimau Selatan, iaitu mematahkan setiap serangan pihak lawan.

Kebolehannya untuk memintas hantaran selain melakukan kekasaran merupakan aset utama dimilikinya meskipun dia pernah beberapa kali dikritik atas kesukarannya mencipta serangan buat pasukan.

BACA LAGI: Kelibat Matt Davies kembali kelihatan, kehilangan Hong Wan terus undang tanda tanya

BACA LAGI: 'Lama tak nampak', ketiadaan Hong Wan resahkan penyokong JDT

First trophy of 2023! @officialjohor

Hong Wan menjadi watak utama di bahagian tengah buat skuad Harimau Selatan.

Jadi, tidak hairanlah apabila ruangan komen kelab Selatan tanah air tersebut acap kali dipenuhi persoalan mengenai keberadaan pemain 24 tahun terbabit yang kali terakhir diturunkan pada September lalu.

Persoalan sedemikian bagaimanapun bukan sahaja menghantui penyokong JDT kerana dalam kalangan 13 pasukan bertanding dalam Liga Super musim ini, terdapat situasi yang mana tonggak skuad 'hilang' tanpa sebarang berita.

Meskipun ada daripada mereka difahamkan bergelut dengan isu kecederaan, keputusan pihak pengurusan untuk terus membisu mengenai status pemain-pemain itu hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain Liga Super yang tidak dikesan dengan mereka tidak berada di bangku simpanan mahupun di padang latihan.

1. V Ruventhiran (Selangor FC)

Harapan cukup besar diletakkan penyokong Selangor FC di bahu bek kiri muda, V Ruventhiran ketika dia menyertai kelab itu dari Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2023.

Manakan tidak, usianya yang masih mentah membuka peluang buat skuad Gergasi Merah untuk mengasah bakatnya dengan harapan kebolehannya mampu memanfaatkan pasukan pada masa-masa akan datang.

352505918_727036582761406_4604895737100162652_n

Ruventhiran sukar mencari minit permainan buat skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Namun, harapan itu jelas tidak kesampaian kerana sepanjang dua musim bersama pasukan Lembah Klang terbabit, pertahanan berusia 23 tahun tersebut hanya merekodkan 14 penampilan.

Lebih mengecewakan lagi, setakat kempen 2024/25, Ruventhiran hanya diturunkan selama tujuh minit buat skuad Gergasi Merah, iaitu ketika mereka meraih kemenangan ke atas Kuching City FC.

Meskipun kelibatnya kelihatan di padang latihan, kesukarannya meraih minit permainan layak meletakkannya sebagai antara pemain yang hilang dari radar.

2. Khatul Anuar Jalil (KDN FC)

Perubahan imej dari Kelantan United FC kepada Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada awal musim lalu disusuli dengan rombakan skuad dengan pihak pengurusan membawa masuk beberapa pemain baharu.

Antara yang disambar kelab Pantai Timur itu ialah penjaga gol tempatan, Khatul Anuar Jalil selepas pemain tersebut terlalu lama 'diperam' di bangku simpanan Penang FC.

Keputusan tersebut pada awalnya menerima respons baik daripada penyokong kerana kehadiran pemain di posisi itu cukup penting selepas rekod pertahanan pada 2023 amat mengecewakan.

2681553

Khatul disisihkan selepas rentetan persembahan kurang meyakinkan. Facebook/KDN FC

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan beraksi, prestasi penjaga gawang berusia 27 tahun itu semakin mengecewakan dengan tiada 'clean sheet' direkodkan dalam enam penampilan Liga Super.

Pulangan kurang memberangsangkan itu menyaksikan pihak pengurusan KDN FC membawa masuk Fikri Che Soh dari Kedah Darul Aman (KDA) FC pada jendela perpindahan kedua.

Sejak itu, Khatul tidak lagi beraksi buat skuad Kijang Emas dengan penampilan terakhirnya buat pasukan itu adalah ketika mereka tewas kepada Kuching City FC pada 26 Ogos lalu.

3. Syafik Ismail (Terengganu FC)

Musim lalu, saham pemain sayap Terengganu FC, Syafik Ismail naik mendadak selepas beberapa persembahan positif dipamerkan 'ubi muda' itu meskipun kutipan jaringannya tidaklah membanggakan.

Namun, kecederaan anterior krusiata ligamen (ACL) dialaminya pada Mei 2023 menyaksikannya terpaksa disisihkan dengan pemain lain diberikan peluang untuk bersinar.

Jadi, selepas menerima rawatan dan tempoh berehat secukupnya, pemain yang juga dikenali sebagai 'Kacang' itu akhirnya diturunkan ketika skuad Sang Penyu berdepan KDN FC pada 24 Mei lalu.

Pemain sayap muda Terengganu FC, Muhammad Syafik Ismail mengakui tidak mudah untuk melawan perasaan trauma apabila beraksi di atas padang pada musim ini selepas mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament)

Syafik masih bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar selepas sembuh daripada kecederaan. Facebook/MFL

Harapan untuk menjadikan perlawanan tersebut platform untuknya bangkit bagaimanapun tidak kesampaian kerana sejak itu, dia hanya meraih satu lagi penampilan Liga Super sebelum diletakkan dalam skuad Piala MFL.

Peluang yang kian terhad itu menceritakan bahawa Syafik mula hilang dari radar dengan dia perlu bangkit segera memandangkan Terengganu FC kini memiliki lambakan pilihan di posisi sayap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram