"ANTARA hidup atau mati".
Demikian kata-kata membanjiri media sosial menjelang pertembungan terakhir Kumpulan A Piala Asean 2024 atau Piala AFF antara Malaysia menentang Singapura pada Jumaat kerana ia bakal menjadi aksi pasukan mana bakal mara ke saingan separuh akhir.
Ketika ini, skuad negara menghuni tangga keempat Kumpulan A dengan mengumpul empat mata bersama Kemboja di tangga ketiga, manakala Singapura di tempat kedua (enam mata) dan Thailand di kedudukan teratas (sembilan mata).
BACA LAGI: Pernah beraksi dengan ex TFC-JDT, bek BG Pathum terpaksa 'promote diri' lepas tamat kontrak
BACA LAGI: [VIDEO] Kena seru nama Syihan Hazmi dulu baru bintang Singapura boleh 'score' gol
Skuad kendalian Pau Marti Vicente wajib menewaskan pasukan bimbingan Tsutomu Ogura untuk mengumpul tujuh mata, sambil Kemboja pula akan bertandang ke Thailand dalam satu lagi aksi di Bangkok.
Bagi memastikan skuad kebangsaan menempah tiket ke pusingan separuh akhir, mengenali 'askar-askar' yang bakal diturunkan oleh Ogura adalah penting bagi mengelak Malaysia mudah dibaham oleh The Lions.
Selepas meneliti tiga perlawanan sebelum ini, terdapat tiga pemain tumpuan The Lions yang boleh mendatangkan masalah untuk Harimau Malaya dalam aksi menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Jumaat;
1) Kyoga Nakamura
Nakamura mula beraksi untuk Singapura pada November lepas. — Agensi
Pada Oktober lalu, skuad bola sepak kebangsaan Singapura mengumumkan pemain berdarah Jepun iaitu Kyoga Nakamura sebagai naturalisasi terbaharu mereka sejak Song Ui-yong menyertai The Lions pada 2021.
Pemain berusia 28 tahun itu sudah beraksi sebanyak 139 perlawanan bersama Tampines Rovers dan telah menjaringkan 15 gol serta membuat 23 bantuan jaringan dalam liga divisyen utama negara itu.
Nakamura yang pernah mewakili Jepun dalam saingan Piala Dunia B-17 pada 2023 itu melakukan debut bersama Singapura iaitu ketika aksi menentang Myanmar bagi aksi persahabatan antarabangsa pada November lepas.
Boleh beraksi di posisi tengah menyerang dan tengah bertahan, penerima Anugerah Pemain Muda Terbaik Liga Singapura pada 2019 itu juga boleh membantu memperkuatkan pasukan dengan kelincahannya di bahagian sayap.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.65 meter itu sudah mencetak gol pertama bersama Singapura, ketika kemenangan 3-0 ke atas menentang Timor Leste bagi saingan Kumpulan A Piala AFF.
2) Faris Ramli
Faris merupakan pemain berpengalaman Singapura. — Agensi
Sebut sahaja Faris Ramli, pasti masih ramai penyokong bola sepak domestik mengingati aksinya bersama Terengganu FC (TFC) pada musim 2020-2021, Selangor FC II (2018-2019) dan Perlis FA di tahun berikutnya.
Sejak menyertai Tampines Rovers pada awal musim 2023, pemain terbaik Liga Singapura 2019 itu sudah mencetak 22 gol dan 21 hantaran bantuaan selepas 56 perlawanan dia diturunkan.
Dengan pengalamannya yang sudah mengenali beberapa pemain tempatan, penyerang sayap kiri itu pasti sudah mempunyai cara tersendiri untuk membaca pergerakan skuad kebangsaan bagi menembusi benteng pertahanan tanah air.
Penyerang sayap berusia 32 tahun berkenaan juga memberi ancaman berbahaya kepada Thailand baru-baru ini apabila meledak gol kedua Singapura sebelum tewas 2-4 kepada skuad Gajah Perang.
3) Shah Shahiran
Shah beraksi sebagai perancang tengah. — Agensi
Tonggak tengah Singapura, Shah Shahiran juga antara pemain tumpuan yang wajar dikhuatiri anak-anak buah Vicente kerana dia merupakan perancang tengah yang agresif untuk bergerak ke bahagian sayap.
Bukan itu sahaja, pemain berusia 25 tahun tersebut juga mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik di atas padang. Sewaktu Singapura kehilangan Safuwan Baharudin pada aksi menentang Thailand, Shah diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten.
Selain itu, Shah juga pasti boleh membina keserasian dengan pemain di bahagian serangan mereka seperti Faris susulan kedua-dua mereka beraksi untuk Tampine Rovers di peringkat kelab.
Berdasarkan rekod, pemain berketinggian 1.73 meter itu sudah tampil dalam 54 perlawanan dan membantu pasukannya merekodkan dua gol serta membuat empat hantaran bantuan untuk Tampine Rovers. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram