PENYERANG muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin bakal berpisah dengan kelab divisyen tiga Jepun iaitu Yokohama SCC selepas tempoh pinjamannya bersama pasukan itu akan berakhir dalam tempoh terdekat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab di laman media sosial baru-baru ini, Luqman Hakim akan meninggalkan pasukan sejurus selepas saingan Liga J3 musim 2024 berakhir.
Sejak menyertai Yokohama pada pertengahan Januari lepas, Luqman Hakim mendapat peluang untuk tampil dalam sembilan perlawanan dalam semua kejohanan bersama pasukan yang sudah tersingkir ke divisyen keempat itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya 9 penampilan 2024, Luqman Hakim bakal kembali ke Belgium sebelum jadi ejen bebas
BACA LAGI: Bapa Luqman Hakim meninggal dunia
Selepas ini, Luqman Hakim dijangka kembali semula ke Belgium memandangkan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mempunyai baki kontrak bersama KV Kortrijk sehingga pertengahan 2025.
Dengan Luqman Hakim masih mempunyai beberapa bulan lagi untuk memikirkan masa depannya sementara menghabiskan kontrak, adalah lebih baik untuk pemain itu mula mempertimbangkan beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pemain berusia 22 tahun itu seharusnya sudah mulai memikirkan masa depannya untuk kekal relevan dalam industri bola sepak. Berkelana ke Belgium tanpa meraih minit permainan tidak membantu karier Luqman Hakim.
Oleh itu, ramai penyokong berharap agar prodigi bola sepak negara itu kembali memeriahkan Liga M dengan menyertai tiga pasukan yang dilihat sesuai untuk menghidupkan semula kariernya;
1) Selangor FC
Selepas meninggalkan AMD, Luqman Hakim dibawa masuk ke Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Pernah menimba ilmu serta pengalaman selama enam bulan bersama Selangor FC, boleh dikatakan Gergasi Merah ibarat 'rumah kedua' buat Luqman Hakim dan antara kelab sesuai untuk membantu pemain itu kembali mendapatkan keyakinannya.
Selepas menamatkan tahun pengajiannya bersama Akademi Mokhtar Dahari, Luqman Hakim menyertai gergasi Liga Super, Selangor FC pada Mac 2020 sebelum meningggalkan pasukan itu pada Ogos 2020 untuk menyarung jersi Kortrijk.
Gergasi Merah yang kini berada di tangan jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi pasti sesuai menjadi guru baharu Luqman Hakim lagi-lagi dia berupaya memahami falsafah jurulatih itu kerana dia baru sahaja selesai beraksi di saingan Liga Jepun.
Namun, Luqman Hakim akan diancam dengan kesukaran meraih minit permainan dek saingan beberapa pemain barisan hadapan Gergasi Merah seperti Ronnie Fernandez, Ali Olwan, Alvin Fortes dan Faisal Halim.
2) Perak FC
Yusri antara jurulatih yang mampu membentuk bakat pemain muda. — Facebook/PerakFC
Perak FC juga dilihat sesuai untuk menjadi destinasi Luqman Hakim selepas melihat pendekatan pengendali semasa mereka iaitu Yusri Che Lah yang pandai menggunakan pemain muda.
Buktinya, Yusri musim ini memberi peluang kepada pemain Piala Presiden mereka iaitu Ahmad Daniel Hakimi apabila prospek Bawah-20 tahun itu sudah diberi peluang beraksi dalam aksi menang 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC bagi saingan Piala Malaysia.
Sekiranya barisan kejurulatihan skuad The Bos Gaurus (TBG) mahu meneruskan pendekatan sebegitu, kehadiran Luqman Hakim yang masih muda boleh dianggap sebagai satu penambahan cukup sesuai.
Tidak dinafikan Perak sebelum ini dilabel gagal apabila tidak berhasil membentuk Hadi Fayyadh Abd Razak usai pemain itu pulang dari Jepun namun ia tidak bermaksud Luqman Hakim akan mendapat nasib sama.
3) Terengganu FC
Lambakan pemain muda TFC akan memudahkan Luqman Hakim untuk menyesuaikan diri. — Facebook/TFC
Terengganu FC (TFC) yang ketika ini berada di tangga keempat Liga Super dilihat sedang mengalami musim kurang meyakinkan apabila menyaksikan Tomislav Steinbruckner digugurkan dan kini Badrul Afzan Razali menjadi pengendali interim.
Meskipun bergelut dalam beberapa perlawanan namun skuad Sang Penyu merupakan pasukan yang sering memberi peluang kepada beberapa pemain muda, seperti Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad dan Ubaidullah Shamsul.
Ia menjadi satu gambaran bahawa skuad Sang Penyu merupakan salah sebuah destinasi ideal buat Luqman Hakim dengan graduan AMD itu berpeluang beraksi di samping pemain-pemain muda.
Kecederaan Ivan Mamut dan prestasi kurang cemerlang Ismahil Akinade serta Nelson Bonilla akan memberi peluang kepada Luqman Hakim untuk menyinar sekiranya menyertai Terengganu pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram