Bekas bintang liga amatur lebih baik dari winger lokal, fans letih skuad Jang macam main 'petang-petang'


  • Podium
  • Selasa, 17 Dis 2024

Brendan mencetak gol kedua buat KL City pada minit ke-12 permainan. — Facebook/KLCityFC

KUALA Lumpur (KL) City FC meraih tiga mata menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila merekodkan kemenangan 2-1 dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Perlawanan yang menyaksikan skuad Warga Kota memanggil dua pemain utama mereka dari kem Harimau Malaya iaitu Paulo Josue dan Declan Lambert membuahkan hasil apabila kedua-dua membantu KL City menguasai permainan.

Jaringan mudah dihasilkan seawal minit kelapan menerusi jaringan dari Paulo Josue dengan gol itu diibarat seperti dalam latihan apabila tiada pemain Negeri Sembilan tidak menjaga barisan belakang dengan baik.

BACA LAGI: Rekod antara asbab Sang Penyu boleh yakin tundukkan NSFC

BACA LAGI: Sarung jersi skuad Jang 'hint' Akhyar tak kekal bersama Terengganu

Sepakan sudut dari Josue disambut baik oleh pemain tengah, Brendan Gan apabila tandukannya mudah menewaskan penjaga gol skuad Jang, Muhamad Aqil Abdul Razak pada minit ke-12 permainan.

Tonggak tengah, Jacque Faye berhasil merapatkan kedudukan buat Negeri Sembilan apabila menyudahkan hantaran sudut dari Takumi Sasaki pada minit ke-36 permainan sebelum masing-masing pasukan kembali ke bilik persalinan.

Skuad kendalian Nantha Kumar yang ketinggalan satu gol itu menaikkan kemarahan penyokongnya dan mereka rata-ratanya tidak gemar dengan corak permainan ditunjukkan pada babak pertama.

"Dua gol awal KL itu dah macam latihan petang-petang mereka. Senang sahaja Paulo seorang tiada yang cabar dia," kata penyokong NSFC, Zakie Zailani.

"Masalah sejak awal ialah kualiti pemain bertaraf daerah," tambah penyokong skuad Jang, Adenan Ayob.

Bersambung babak kedua, corak permainan skuad Jang tampak bertambah baik apabila banyak cubaan dilakukan oleh anak-anak buah Nantha Kumar namun tiada sebarang percubaan berhasil diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Pada minit ke-70 permainan, kem Warga Kota sedikit goyah apabila pemain pertahanan mereka iaitu Kamal Azizi dikeluarkan ekoran kecederaan dialaminya dan tempatnya digantikan oleh Arif Shaqirin Suhaimi.

Sepakan percuma diberi kepada NSFC selepas Declan melakukan kekasaran terhadap Faye apabila kaki bek kanan skuad kebangsaan itu terkena muka pemain import kelahiran Senegal berkenaan.

Bagaimanapun, dinding yang dijaga utuh oleh barisan pertahanan Warga Kota berhasil menafikan sepakan percuma dari Sasaki. Sekali gus, memadam hasrat skuad Jang untuk menyamakan kedudukan.

Faye yang bermula dengan beraksi di saingan liga amatur bagi saingan Selangor Champions League (SCL) itu semakin disukai penyokong Negeri Sembilan apabila sudah meledak empat gol untuk skuad Jang.

Dia yang beraksi sebagai pemain tengah lebih menyinar dari segi rekod gol berbanding penyerang sayap Negeri Sembilan iaitu Hadin Azman apabila tidak mencetak sebarang gol untuk skuad Jang setakat ini.

"Keluarkan Hadin itu, tahan bola pun ke laut," kata penyokong NSFC, Irfan Azmi. Antara kecaman yang diberi kepada penyerang sayap kiri itu.

Kekalahan Negeri Sembilan itu menyaksikan mereka kini menghuni tangga tercorot liga dengan hanya merekodkan satu kemenangan, tiga seri dan selebihnya tewas selepas mengharungi 15 aksi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram