PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford dilaporkan bersedia untuk mengharungi cabaran baharu di luar kelab tersebut.
Memetik laporan di England, pemain keluaran akademi United itu dikatakan menjadi salah satu nama besar akan disingkirkan kelab sebagai usaha untuk mengurangkan kos.
United dilaporkan bersedia melepaskan Rashford serta beberapa nama lain seperti Antony, Diogo Dalot serta Bruno Fernandes.
BACA LAGI: Man United sedia jual Rashford 'salin' skuad, peliknya Onana-Amad antara yang kekal di Old Trafford
BACA LAGI: Kelab Arab Saudi, PSG dipetik destinasi baharu Rashford andai dilepaskan Man United
Menyedari masanya semakin hampir berakhir di United, Rashford tidak ambil hati dengan keputusan kelab untuk melepaskannya selepas beraksi sebanyak lebih 400 kali.
"Bagi saya, secara peribadi saya bersedia untuk cabaran baharu dan ke langkah seterusnya. Apabila saya tinggalkan kelab, saya tidak akan berkecil hati. Anda tidak akan dapat komen negatif daripada saya mengenai Manchester United.
Rashford tidak akan berkecil hati sekiranya masanya di United berakhir.
"Jika saya sendiri tahu yang situasi sudah teruk, saya tidak akan menjadikannya lebih parah. Saya sudah tengok pemain-pemain sebelum ini tinggalkan kelab dan saya tidak mahu jadi sebahagian daripada mereka. Bila saya pergi, biar saya buat kenyataan yang memang daripada saya," ujar Rashford.
Walaupun wataknya dalam skuad United semakin mengecil, tetapi Rashford tidak berkecil hati kerana dia sudah belajar banyak perkara sepanjang sembilan tahun bersama.
Pengalamannya di United membantu dirinya untuk berkembang sebagai pemain serta individu secara am.
"Saya sudah ada sembilan tahun pengalaman di Liga Perdana Inggeris, dan ia mengajar saya banyak perkara, ia membantu saya berkembang sebagai pemain dan manusia. Jadi, saya tidak ada sebarang sesalan dalam tempoh sembilan tahun itu.
"Saya tidak akan menyesal bergerak ke depan, sebab ambil perkara itu dari hari ke hari, ada masa perkara baik berlaku, ada masa ada juga perkara buruk berlaku. Saya cuba untuk pastikan ia seimbang," jelasnya.
Setakat ini, Paris Saint-Germain dilihat sebagai destinasi yang cukup kuat dikaitkan dengan Rashford andai dia meninggalkan United. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram