[VIDEO] Kad kuning, pemain cedera antara punca taktikal Sabah FC mungkin berubah saat melayan kunjungan The Cats di Likas


  • Podium
  • Selasa, 17 Dis 2024

Skuad Sang Badak dijangka akan mengalami perubahan taktikal menjelang aksi bertemu The Cats untuk memburu slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2024. — Facebook/MFL

KEM Sabah FC menerima khabar gembira selepas pengendali dari Slovakia, Martin Stano diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Sang Badak sehingga tamat musim 2024/2025.

Stano sebelum ini dilantik sebagai Penolong Jurulatih interim merangkap Jurulatih Kecergasan bersama Alto Linus yang dilantik sebagai Ketua Jurulatih interim selepas Datuk Ong Kim Swee memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu.

Keputusan itu terbukti tepat apabila Stano berjaya membawa pasukannya, Sabah FC mendahului Kuching City FC 1-0 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri, Sarawak Ahad lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Harimau Malaya kena pukul casual Thailand dikejarkan ke hospital akibat hentakan di kepala

BACA LAGI: Selain Bergson dan Hidalgo, tonggak Sang Badak antara 3 import wajar dinaturalisasi musim depan

Dalam perlawanan yang digelar sebagai Derby Borneo itu, pemain sayap The Rhinos, Farhan Roslan muncul sebagai wira apabila menamatkan satu gerakan set-piece yang cemerlang pada minit ke-32.

Meskipun dijangka berdepan kesukaran dalam aksi timbal balik pada 23 Disember di Stadium Likas, Sabah nanti, Stano kekal tenang dan memastikan pasukannya mengekalkan rekod tanpa bolos dan beraksi dengan keyakinan yang lebih tinggi.

Stano sebelum ini dikenali sebagai jurulatih yang melaksanakan latihan keras untuk memastikan pemain-pemainnya kekal dalam keadaan fizikal terbaik.

Namun, dia berasakan bahawa menjadi Ketua Jurulatih adalah satu cerita yang berbeza kerana perlu menguruskan susunan pemain, penggantian serta berkoordinasi dengan staf kejurulatihan.

“Ia adalah perlawanan derby yang sangat sukar dari segi taktikal, kekuatan fizikal dan juga emosi, walaupun kami menang 2-1 pada 4 Disember lepas dalam saingan Liga Super.

“Perlawanan Piala Malaysia ini berbeza kerana ia melibatkan dua pusingan dan walaupun kami menang, kami masih mempunyai pusingan kedua yang mana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan kami tidak boleh hilang fokus,” kata pengendali berusia 47 tahun itu.

Stano yang sebelum ini pernah menabur bakti bersama pasukan kebangsaan ketika Tan Cheng Hoe menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih berbangga dengan komitmen pemain skuad Harimau Malaya.

“Saya berbangga dengan komitmen setiap pemain, terutamanya pemain kebangsaan yang telah menghadapi perlawanan yang sukar dengan negara dan kini membantu kelab dan selepas ini akan kembali ke skuad Harimau Malaya.

"Kuching City adalah pasukan yang mempunyai taktik yang baik dan sasaran kami di sini adalah untuk menjaringkan gol dan kembali ke Likas untuk perlawanan kedua dengan beberapa perubahan yang diperlukan kerana kad kuning dan beberapa pemain yang cedera,” kata Stano.

Sabah akan menyaksikan kembalinya tonggak utama seperti Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin, dan Darren Lok ke persiapan skuad kebangsaan untuk perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Asean 2024 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram