HARIMAU Malaya akhirnya mengalami kekalahan pertama dalam kempen Piala AFF 2024 apabila tewas 0-1 kepada Thailand di Stadium Rajamangala, Thailand pada Sabtu.
Mereka yang hadir dengan skuad serba kekurangan akibat keputusan kelab memanggil kembali beberapa pemain selain isu kecederaan pada awalnya tidak mengalami isu sepanjang babak pertama.
Namun, pada minit ke-57, pintu gawang Malaysia yang dijaga rapi oleh Haziq Nadzli akhirnya membenarkan Thailand memperoleh satu jaringan, sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan ketinggalan 0-1.
BACA LAGI: ‘Harap penalti saja’, bukan puji diberi tapi fans Sang Penyu pilih kritik ketajaman Bonilla
BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah macam pemain Thailand’, Orang Asli tunjuk bakat boleh ganti 'killer' Pahang Mammoth
Kesilapan Haziq Nadzli menyaksikan Malaysia dibolosi pada minit ke-57 selepas gagal mengeluarkan bola dari dalam petak penalti sebelum ia disambut baik oleh Patrik Gustavsson.
Gol tersebut terhasil selepas penjaga gawang itu tirak menyedari kehadiran Suphanat Muaenta ketika melakukan hantaran dengan pemain itu tenang melorongkan bola kepada rakan sepasukannya, Patrik Gustavsson yang mudah mencetak jaringan pertama perlawanan.
Kesilapan itu jelas mematahkan semangat Harimau Malaya yang kemudian kelihatan tertekan untuk menampilkan persembahan bersemangat kerana sudah tahu kesukaran untuk lolos daripada peringkat kumpulan.
Susulan kekalahan pertama itu, ramai penyokong menyalahkan Haziq kerana melakukan kesilapan mudah dengan membenarkan Thailand membolosi gawang pada babak kedua.
Oleh itu, penyokong tanah air mula menyamakan Haziq dengan penjaga gol Manchester United, Andre Onana yang cukup dikenali dengan kesilapan mudah sehingga merugikan pasukan.
“Onana Malaysia, permainan skuad kebangsaan sudah cantik tapi dicacatkan oleh penjaga gol,” kata Adam Noh.
“Santai sangat itu keeper, ingat ini Liga Malaysia (Liga M) ke, dah macam Onana Haziq ni,” kata Muhd Suzaimi.
“Kesilapan mudah, pemain lain sudah berhabis bertahan tak nak bolos, datang pula keeper yang bagi free gol,” kata Adleen Yusof.
Susulan kekalahan itu, Malaysia kini menghuni tangga ketiga dengan empat mata selepas tiga perlawanan dalam Kumpulan A.
Selepas ini, Malaysia akan menerima kunjungan daripada pasukan Singapura dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium National Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 Disember nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram