[VIDEO] Penyokong Harimau Malaya kena pukul casual Thailand dikejarkan ke hospital akibat hentakan di kepala


  • Podium
  • Ahad, 15 Dis 2024

Seorang penyokong Malaysia mengalami kecederaan selepas menyaksikan perlawanan Piala AFF 2024 antara pasukan tuan rumah, Thailand menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Rajamangala pada Sabtu.

AKSI kempen Piala Asean 2024 (Piala AFF) antara Malaysia dan Thailand dicemari dengan insiden penyokong tanah air diserang di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu.

Insiden peminat Malaysia diserang penyokong kasual Thailand berlaku tidak lama selepas tamat perlawanan antara Harimau Malaya dan Gajah Perang.

Menerusi perkongsian daripada pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom melaporkan bahawa salah seorang penyokong Malaysia dipukul beramai-ramai oleh kasual Thailand selama 15 minit sebelum dibantu fans Thailand lain.

“Seorang penyokong tanah air dikejarkan ke hospital kerana hentakan di kepala. Mangsa dipukul beramai-ramai lebih kurang 15 minit oleh casual Thailand sebelum fans Thailand yang lain datang bantu,” katanya.

Susulan kejadian itu, menerusi satu kenyataan dalam hantaran di Facebook Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Madam Pang, pihaknya sudah menghantar penyokong itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Smitivet, Srinakharin.

“Kakitangan antarabangsa FAT sudah pun mengendalikan perkara ini dan menguruskan bil rawatan bagi memastikan individu terbabit tidak berdepan sebarang masalah apabila pulang nanti.

“Doktor juga sudah melakukan imbasan CT di bahagian kepala bagi mendapatkan keputusan terperinci dan meminta pesakit untuk dimasukkan ke wad pada malam ini (Sabtu) untuk berjumpa pakar ortopedik.

“Namun individu itu perlu pulang esok (Ahad) dan akan mendapatkan rawatan di Malaysia,” kata kenyataan terbabit.

Terdahulu, media melaporkan penyokong Malaysia terkandas dalam Stadium Rajamangal sebaik aksi ketiga Kumpulan A Piala AFF itu berakhir.

Menurut salah seorang penyokong tanah air yang berada di sana ketika kejadian, penyokong tuan rumah melakukan provokasi kepada penyokong Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram