‘Harap penalti saja’, bukan puji diberi tapi fans Sang Penyu pilih kritik ketajaman Bonilla


  • Podium
  • Sabtu, 14 Dis 2024

Safawi (dua kanan) mencetak satu gol pada babak pertama buat Sang Penyu.  — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) membawa bekalan selesa aksi timbal balik nanti selepas menewaskan Negeri Sembilan FC dengan keputusan 2-0 pada aksi suku pertama kempen Piala Malaysia 2024 pada Sabtu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu menyaksikan pasukan tuan rumah terpaksa berhempas-pulas untuk mencari jaringan namun berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan Sang Penyu.

Selepas membuat serangan bertali arus ke kubu tuan rumah, gol yang dinanti-nantikan akhirnya tiba buat Sang Penyu menerusi jaringan kaptennya, Safawi Rasid pada minit ke-20 untuk meletakkan pasukan Pantai Timur itu di hadapan.

BACA LAGI: ‘Tanpa Lucho, Perak ibarat main liga estet’, fans TBG berang misi #wajibmenang gagal

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Selangor kurang gemar, Kinoshi juga tak berminat 'layan' tekanan UltraSel

Keputusan 1-0 kekal pada babak pertama yang menyaksikan Sang Penyu berada di kedudukan yang selesa sebelum ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua di Paroi, drama berlaku pada penghujung perlawanan apabila bek tengah skuad Jang, Aliyu Abubakar dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang selepas dikesan mengasari pemain lawan.

WhatsApp Image 2024-12-14 at 19.18.04

Nelson Bonilla berhasil membantu Sang Penyu untuk membawa bekalan selesa pada aksi suku akhir kedua selepas mencetak satu gol di Paroi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Jang terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk menyekat serangan daripada Sang Penyu.

Sudah jatuh ditimpa tangga, skuad Jang sekali lagi diuji apabila pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti buat Sang Penyu selepas penjaga gol NSFC, Aqil Razak dikesan mengasari Nelson Bonilla di dalam kawasan penalti.

Peluang TFC untuk meraih jaringan kedua berhasil selepas Bonilla berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86 sekali gus menjadikan kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan di Paroi itu, ramai penyokong tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh penyerang kebangsaan El Salvador, Nelson Bonilla yang gagal mencetak gol meskipun memiliki peluang keemasan di depan gawang.

“Bola tapping pun tak boleh gol, harap penalti saja si Bonilla ni kan,” kata Saiful Bahari Ismail.

“Harap penalti saja si Bonilla ini kan?, depan pintu gol pun tak boleh gol,” kata Ihsanuddin Mukhtar.

“Kalau tak penalti tadi, memang tiadalah Bonilla itu skor kan, nampak sangat berharap dengan penalti,” kata Hafizan Ahmad.

Kedudukan itu menyaksikan aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu 21 Disember nanti bakal bertambah sengit buat skuad Jang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga gol di laman lawan untuk mara ke separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram