PELABURAN sebanyak €500,000 (RM2.33 juta) dilakukan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mendapatkan khidmat penyerang Colombia, Jorge Obregon tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan penyokong.
Empat gol tanpa sebarang bantuan jaringan dalam 14 penampilan buat kesemua pertandingan sudah cukup untuk menceritakan pulangannya yang boleh dikatakan kurang berbaloi.
Malah, peluang berada dalam minit permainan lebih kerap diberikan pengendali, Hector Bidoglio juga disia-siakan sehingga penyokong mendesak agar Bergson da Silva diletakkan di dalam kesebelasan utama berbanding Obregon.
BACA LAGI: Bintang Albania, maestro Korea antara pemain Gwangju perlu dirantai kemas JDT
BACA LAGI: Bidoglio optimis JDT bangkit usai dimalukan Gwangju, tak mustahil Selangor senasib Ulsan
Obregon masih belum mendapatkan rentak terbaik buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sekiranya situasi tersebut berterusan, JDT pasti tidak akan teragak-agak untuk melepaskan pemain berusia 27 tahun itu pada jendela perpindahan akan datang.
Ini kerana pihak pengurusan seperti sudah memiliki calon terbaik sebagai pengganti penyerang itu selepas baru-baru ini, timbul khabar angin mengatakan Jasir Asani bersedia untuk bersama skuad Harimau Selatan musim depan.
Ura-ura itu kedengaran di media sosial selepas pemain berkenaan meninggalkan komen di hantaran bintang JDT, Eddy Israfilov selepas mereka bertemu dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Khabar angin itu sekali lagi diperkuatkan apabila pada Isnin, Jasir memuat naik video memaparkannya berada di dalam gimnasium sambil menyarung jersi kelab Liga Super berkenaan.
Hantaran terbabit kemudiannya ditangkap layar penyokong pasukan Selatan tanah air itu yang menimbulkan spekulasi kononnya dia akan menyertai skuad Harimau Selatan dalam masa terdekat.
Jasir mengenakan jersi skuad Harimau Selatan ketika sesi latihan di gimnasium.
Sekiranya penyerang terbabit sah menyertai jaguh Liga Super berkenaan pada jendela perpindahan akan datang, ini sekali gus menandakan tempoh Obregon bersama kelabnya itu akan berakhir dengan terdapat kemungkinan dia akan dipinjamkan keluar.
Jasir yang merupakan pemain kebangsaan Albania cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana pada Oktober lalu, dia pernah menjaringkan dua gol ketika JDT berputih mata dalam aksi ACL Elite berdepan kelab Korea Selatan, Gwangju FC.
Kebolehannya dalam perlawanan itu sememangnya diakui kerana dia bijak menghukum Feroz Baharudin selain mempunyai kepantasan untuk meloloskan diri daripada pihak lawan.
Namun, sekiranya JDT bercita-cita besar untuk mendapatkan khidmatnya, mereka perlu membayar pampasan kepada Gwangju FC memandangkan kontraknya hanya akan tamat pada penghujung Disember 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram