Sah gandingan Peter Cklamovski-Nafuzi Zain perbaiki prestasi Harimau Malaya, ramai doa FAM baik-baik saja di bawah revolusi TMJ


  • Podium
  • Isnin, 16 Dis 2024

Cklamovski dan Nafuzi rasmi dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya dan Harimau Muda oleh FAM. — FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan jurulatih kelahiran Australia, Peter Cklamovski secara rasminya dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.

Perkara ini diumumkan secara rasminya oleh FAM mengenai pelantikan jurulatih berusia 46 tahun yang akan menggantikan Kim Pan-gon bermula 1 Januari 2025.

Cklamovski juga memiliki reputasi dan pengalaman yang baik di Asia selepas pernah mengemudi skuad kebangsaan Australia dan mengembangkan kariernya di Jepun.

BACA LAGI: 'Kritik jangan sampai menghina', Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan bintang Selangor beri sokongan buat Haziq Nadzli

BACA LAGI: [VIDEO] Nilai sama Jese Rodriguez, ex bintang PSG, AC Milan antara 4 'free agent' wajar jadi sasaran JDT, Selangor musim depan

Selain itu, bekas pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain turut sah menjadi jurulatih skuad Malaysia Bawah-23 Tahun (B-23) yang baharu.

Pelantikan Nafuzi turut menandakan tamatnya era pengendali skuad Malaysia B-23 sebelumnya dari Sepanyol, Juan Torres Garrido.

Untuk rekod, Cklamovski memulakan karier kejurulatihan sebagai pembantu jurulatih pasukan kebangsaan Australia (2014-2017) sebelum memegang jawatan bersama Yokohama F. Marinos (2018-2020) juga sebagai pembantu.

Musim ini, Cklamovski mengendalikan FC Tokyo sebelum memilih untuk bersama Harimau Malaya di bawah revolusi Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang disebut-sebut bakal menjadi Presiden FAM seterusnya.

Cklamovski hadir ke Malaysia dengan barisan kejurulatihannya bagi memastikan skuad kebangsaan dapat beraksi dengan baik.

Manakala, Nafuzi pula memiliki pengalaman mengendalikan pasukan bawah umur sepanjang kariernya sebagai jurulatih.

Selain melatih Kedah, Nafuzi juga pernah membimbing Terengganu FC dari 2020 hingga 2022.

Tempoh ini menyaksikan beliau membantu Sang Penyu muncul naib juara Liga Super musim 2022 dan layak ke Piala AFC 2023.

Pelantikan dua jurulatih baharu Harimau Malaya dan Harimau Muda itu mendapat sambutan positif daripada penyokong bola sepak tanah air dengan ramai mendoakan kejayaan revolusi baharu ini.

Terdahulu pada Ahad, Tunku Ismail mengumumkan calon jurulatih baharu skuad Harimau Malaya diketahui pada Isnin.

Tunku Ismail yang dikenali sebagai TMJ kini disebut-sebut calon menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang tidak berhasrat untuk mengekalkan jawatan sebagai Presiden FAM.

TMJ pernah memegang mandat sebagai Presiden FAM pada 2017 sebelum meletakkan jawatan setahun kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram