Bintang Albania, maestro Korea antara pemain Gwangju perlu dirantai kemas JDT


  • Podium
  • Selasa, 22 Okt 2024

Jasir Asani antara pemain perlu diberikan perhatian oleh pertahanan JDT.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berdepan lawan paling sukar mereka setakat ini dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) apabila bertemu wakil Korea Selatan, Gwangju pada Selasa.

Merupakan pasukan paling cemerlang di zon Timur dengan meraih rekod kemenangan 100 peratus, secara logiknya ia menjadikan kelab itu ujian terbesar Harimau Selatan setakat ini di Asia.

Untuk memastikan kemenangan dapat diraih, JDT harus memastikan tiga pemain utama Gwangju dapat disekat semasa kedua-duanya bertemu pada 6 petang waktu Malaysia.

BACA LAGI: Bukti masih sayang, bekas jurulatih serap 'roh' 2022, optimis JDT boleh jinakkan Gwangju

BACA LAGI: Manfaat dapat 'cuti rehat' liga, JDT bertolak awal ke Korea Selatan

Jasir Asani

Pemain ini adalah ancaman ketara yang perlu JDT kawal jika mereka ingin memastikan gawang tidak dibolosi kerana Jasir Asani cukup berbahaya di depan gol.

Pemain import dari Albania itu merupakan mesin gol buat Gwangju dalam saingan ACLE. Setakat ini, Asani sudah menghasilkan empat gol dan itu meletakkan dia sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Jasir

Asani (depan) menjaringkan gol kemenangan Gwangju berdepan Kawasaki Frontale.

Apa yang menariknya, Asani merupakan tipikal pemain bola sepak moden yang menghasilkan gol dari bahagian sayap kanan. Oleh itu, pertahanan kiri JDT perlu bekerja keras menghalang gerakannya.

Berbisa sebagai pemain sayap kanan, Asani turut boleh bermain di sayap kiri jika diperlukan.

Jung Ho-yeon

Mengetahui Korea Selatan mempunyai ramai pemain berkualiti, ia turut terselit dalam skuad Gwangju menerusi Jung Ho-yeon.

Pemain tengah berusia 24 tahun itu mempunyai rekod yang baik dalam ACLE setakat ini dengan melakukan dua bantuan gol buat Gwangju.

newFile-18

Jung pernah memenangi gelaran divisyen 2 Korea Selatan bersama Gwangju.

Pemenang pingat emas Sukan Asia itu turut mempunyai rekod bantuan gol yang baik bagi seorang pemain tengah yang cenderung untuk bertahan dengan lima bantuan dilakukan.

Sudah pasti pertarungan di tengah cukup menarik untuk disaksikan kerana kualiti Jung boleh menjerat JDT jika dibiarkan bebas membantu barisan serangannya.

Gabriel Tigrao

Seorang lagi pemain yang boleh memberikan ancaman buat JDT adalah penyerang dari Brazil iaitu Gabriel Tigrao.

Berusia 23 tahun, penyerang itu mempunyai rekod baik buat Gwangju dalam pelbagai pertandingan baik di peringkat domestik atau Asia.

gabriel_tigrao__01_610x400-39890987

Kedua-dua kaki Tigrao 'hidup' menjadikan dia penyerang berbahaya.

Dia menghasilkan sembilan gol di peringkat domestik serta satu dalam saingan ACLE. Selain menjaringkan gol, Tigrao turut menyumbang jumlah bantuan gol dengan baik iaitu sebanyak enam kali dalam semua pertandingan.

Kelebihannya adalah Tigrao boleh menggunakan kedua-dua kaki dengan baik. Pastinya sukar untuk pertahanan JDT menghalangnya apabila Tigrao ingin melakukan percubaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram