Bidoglio optimis JDT bangkit usai dimalukan Gwangju, tak mustahil Selangor senasib Ulsan


  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Rekod tanpa kalah JDT dalam saingan ACLE lebur di tangan Gwangju FC selepas Harimau Selatan tewas 1-3 pada Selasa. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) kekal positif mengenai peluang mereka dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) walaupun mengalami kekalahan pertama dalam pertandingan berkenaan pada Selasa.

Harimau Selatan ditewaskan 1-3 oleh pasukan Korea Selatan, Gwangju FC di Stadium Yongin Mireu, Yongin, Korea Selatan namun pengendali kelab, Hector Bidoglio menegaskan bahawa kekalahan itu bukan penamat untuk JDT.

Ia adalah ideal untuk membawa kembali tiga mata dari Stadium Yongin Mireu tetapi gol berganda daripada penyerang sensasi Gwangju iaitu Jasir Asani pada enam minit perlawanan menghentikan rancangan permainan JDT.

BACA LAGI: JDT kononnya simpan pemain demi lawan Selangor hanya usikan media sosial — Pemerhati

BACA LAGI: Prospek JDT II sertai 'awayday' ke Korea, ramai tunggu lampu hijau debut skuad senior

Walaupun pertahanan Harimau Selatan, Feroz Baharudin mendapat satu gol untuk pasukan tetapi jaringan sendiri oleh Park Jun-heong memberikan Gwangju gol kemenangan untuk meraih tiga mata.

“Kami cuba bangkit dengan jaringan Feroz dan menguasai perlawanan, tetapi gol sendiri menghentikan peluang kami untuk sekurang-kurangnya seri.

“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan mana-mana pemain. Kami hanya tidak mempunyai nasib Ia perlawanan yang sukar tetapi saya berpuas hati dengan prestasi pemain saya.

“Lawan menjaringkan gol awal tetapi kami tidak hilang fokus dan mengekalkan penguasaan permainan," kata Bidoglio dalam sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih kelahiran Argentina itu berkata, JDT mempunyai skuad yang boleh memberi cabaran dalam kejohanan tersebut sambil menambah bahawa mereka akan terus berusaha dalam permainan taktikal untuk menentang pasukan terbaik di Asia.

“Lawan kami adalah pasukan yang sangat bagus. Inilah ACLE, semua pasukan yang kami hadapi adalah sukar.

"Kami akan berkembang menjadi pasukan yang lebih baik dan akan fokus pada permainan taktikal kami dan menanti aksi yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya," jelas pengendali itu.

Sementara itu, ketua pasukan JDT, Natxo Insa memuji semangat juang rakan-rakannya yang bangkit memberi saingan hebat selepas jaringan berturut-turut oleh pemain Gwangju pada babak awal permainan.

“Sukar untuk melepaskan dua gol begitu awal, tetapi selepas 10 minit, pasukan bertindak balas dengan baik.

“Kami mencipta banyak peluang dan kami boleh menamatkan separuh masa pertama 2-2. Ia mengecewakan kerana enam minit itu mengubah permainan.

“Kami telah beraksi dengan sangat baik dalam kejohanan setakat ini. Saya rasa kami sepatutnya mendapat sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan tetapi beginilah bola sepak, beginilah kehidupan,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

JDT kini di tempat ketiga dengan empat mata dalam Kumpulan A. Mereka sebelum ini seri 2-2 dengan Shanghai Port dan menewaskan Shanghai Shenhua 3-0. Selepas ini, mereka akan menentang pasukan Korea, Ulsan Hyundai pada 5 November di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Sebelum menerima kunjungan Ulsan, JDT dijadualkan berdepan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dekat Kelana Jaya, Selangor pada Ahad (27 Oktober). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram