PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva bersedia untuk memberikan segalanya buat Malaysia seandainya dia diberikan peluang menyarung jersi Harimau Malaya.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyebut namanya serta Manuel Hidalgo sebagai penyelesaian sementara kepada kualiti serangan Harimau Malaya.
Dengan revolusi Harimau Malaya semakin disebut-sebut akan tiba, ia menguatkan lagi spekulasi Bergson akan menjadi penggempur utama skuad kebangsaan dengan status sebagai pemain naturalisasi.
BACA LAGI: Selain Bergson dan Hidalgo, tonggak Sang Badak antara 3 import wajar dinaturalisasi musim depan
BACA LAGI: Dua bintang akan tiba? TMJ cadang Bergson, Hidalgo penyelesaian peledak Harimau Malaya
Bergson sedia dipanggil oleh Harimau Malaya.
"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir mengenai perkara ini sewaktu tiba di negara ini hampir lima tahun lalu. Saya gembira berada di Malaysia dan bermain untuk kelab ini dengan semua sokongan yang saya peroleh daripada Tunku Ismail.
"Jika peluang itu datang, saya akan berikan segalanya.
"Saya terharu dengan penerimaan penyokong yang sentiasa bersama saya, ia menjadi motivasi tambahan buat saya untuk mewakili Harimau Malaya," ujar Bergson.
Bergson dilihat boleh menjadi penyelesaian jangka pendek buat posisi penyerang utama Harimau Malaya yang bergantung kepada Darren Lok dan Haqimi Azim.
Jika dia dinaturalisasikan, ia boleh membantu Malaysia tampil cemerlang dalam aksi pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2027 yang memerlukan Harimau Malaya tampil sebagai juara kumpulan.
Sebagai rekod, Bergson sudah menghasilkan 19 gol dalam saingan Liga Super untuk JDT. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram