
INISIATIF FLYsiswa yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan beban penuntut universiti awam akan digiatkan tahun depan selepas peruntukan lebih besar disalurkan kerajaan.
Menterinya, Anthony Loke dalam satu ucapan berkata, setiap pelajar akan ditawarkan subsidi RM400 pada 2025 berbanding RM300 diberikan ketika ini dalam usaha mengurangkan beban, terutamanya ketika musim perayaan.
"Saya sudah cadangkan untuk tambah sedikit (peruntukan) bagi tahun depan. Ini kerana pada 2023 dan 2024, kita salurkan bantuan RM300, tetapi akan ada pertambahan bagi tahun ini.
BACA LAGI: Bayaran tambahan mungkin dikenakan untuk lesen fizikal bermula tahun depan — Anthony Loke
"Malah, tahun depan, kita akan memulakannya lebih awal. Jika kita lihat tahun ini, penuntut hanya boleh memohon pada Mei selepas kami menerima data daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Tetapi, untuk 2025, selepas kami bekerjasama dengan KPT dan sudah peroleh data lebih awal, pelajar boleh memohon seawal Januari dan dalam tempoh terdekat, anda boleh menebuh baucar dan membeli tiket bila-bila masa sahaja," katanya.
Anthony Loke berkata demikian dalam Majlis Perasmian Karnival FLYsiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta ribuan penuntut UiTM.
Anthony Loke menjelaskan permohonan boleh dibuat seawal Januari tahun depan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan RM750 juta menerusi Belanjawan 2025 untuk inisiatif pengangkutan awam, sejajar dengan matlamat mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Insiatif FLYsiswa yang diperkenalkan pada 2023 merupakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan.
Selain penuntut universiti awam, mereka yang melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kolej matrikulasi juga boleh membuat permohonan.
Berdasarkan permohonan terkini, Kementerian Pengangkutan menganggar kira-kira 60,000 pelajar akan menerima manfaat daripada bantuan FLYsiswa dengan peruntukan RM16.8 juta disalurkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram