LESEN operasi syarikat pemilik lori treler terlibat dalam kemalangan maut dengan beberapa kenderaan di Pulau Pinang pada Rabu bakal berdepan penggantungan, kata Anthony Loke.
Menteri Pengangkutan itu berkata, tindakan sedemikian boleh dilaksanakan sekiranya syarikat terbabit gagal dalam audit dilakukan terhadapnya atau didapati melanggar peraturan keselamatan.
“Insiden ini tidak sepatutnya berlaku, dan kementerian memandang serius,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Ekonomi Maritim pada Khamis.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Loke berkata, beliau juga telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca kemalangan.
Beliau berkata, Miros akan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada ia berpunca daripada isu teknikal atau kecuaian.
“Saya melihat unsur kecuaian dan kegagalan mematuhi protokol keselamatan oleh pengendali treler.
“Difahamkan kontena itu memiliki panjang 20 kaki (60 meter), manakala treler itu boleh memuatkan dua kontena. Bagaimanapun, pada hari itu ia hanya membawa satu kontena,” katanya seperti dipetik daripada media tempatan.
Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya dihempap kontena yang terbalik daripada sebuah treler di Jalan Bukit Tengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Pada Rabu, seorang wanita berusia 21 tahun maut manakala seorang lelaki cedera apabila kereta yang dipandu mereka dihempap kontena yang terbalik daripada sebuah treler di Jalan Bukit Tengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Kejadian itu membabitkan empat kenderaan lain dan sebuah lori tiga tan.
Pemandu treler terbabit direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Loke turut meluahkan kekecewaannya sambil menambah pemandu treler itu kelihatan tidak peka dengan nasib mangsa.
“Saya dimaklumkan dia telah dibawa ke mahkamah hari ini (Khamis) dan membuat tanda 'peace'.
“Orang seperti ini bukan sahaja tidak menunjukkan rasa kesal tetapi juga tidak mempunyai sensitiviti terhadap keluarga mangsa,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata, beliau masih belum menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan terdapat syarikat perkapalan yang beroperasi di Malaysia yang menghantar senjata api kepada Israel.
“Kita perlu menyiasat sama ada dakwaan sedemikian wujud, dan kementerian akan meneliti tindakan sewajarnya yang perlu diambil,” tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram