Leong Jun Hao terus bergaya, mara ke separuh akhir Kumamoto Masters tumbangkan wakil tuan rumah


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Jun Hao akan beraksi di separuh akhir Kumamoto Masters berdepan Jonatan Christie.

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mencipta sensasi apabila berjaya mara ke separuh akhir Kumamoto Masters.

Selepas melihat kekalahan Lee Zii Jia kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie, Jun Hao memastikan cabaran negara terus hidup di Jepun dalam kategori perseorangan lelaki.

Berdepan lawan getir iaitu wakil tuan rumah, Kodai Naraoka, Jun Hao bagaimanapun berjaya mencipta kejutan dengan menewaskan pemain tersebut dalam aksi tiga set.

BACA LAGI: Sze Fei-Izzudin tewas dalam 'perang saudara', Aaron-Wooi Yik tumbang awal di Kumamoto Masters

BACA LAGI: Japan Masters: Pearly Tan-Thinaah pulang awal, DinFei mara penuh bergaya

Jun Hao berjaya memenangi set pertama 21-17 sebelum Naroka yang merupakan pilihan kedua kejohanan bangkit dengan merampas set kedua 9-21.

Pemain negara itu kemudiannya mempamerkan persembahan terpuji walaupun diberikan tentangan hebat di set ketiga untuk memastikan kemenangan dicapai dengan keputusan 21-16.

Kemenangan Jun Hao itu membolehkan dia menyertai separuh akhir Jelajah Dunia BWF bagi Super 500 buat pertama kali dalam kariernya.

Malah, dia turut beraksi cemerlang di Kumamoto Masters dengan berjaya mengalahkan Koki Watanabe serta Lakshya Sen dalam perjalanan ke separuh akhir.

Akan tetapi, dengan tumbangnya Zii Jia, Jun Hao tidak dapat bertemu rakan senegaranya itu di separuh akhir seperti yang diramal. Sebaliknya, dia akan berdepan Christie pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram