TINGGAL dua destinasi sebelum Jelajah Dunia BWF sampai ke penghujungnya dengan Jejalah Dunia Akhir BWF akan diadakan di Hangzhou, China pada Disember.
Kini, para pemain berpotensi untuk layak ke kejohanan eksklusif itu sedang giat untuk mengumpul mata secukupnya dengan Kumamoto Masters di Jepun menjadi pertandingan penting buat beberapa wakil negara.
Kejohanan Super 500 itu harus diharungi dengan baik oleh beberapa wakil negara. Jika tumbang awal, peluang ke Hangzhou boleh lebur di minit akhir permainan.
BACA LAGI: Tunjuk gambar akreditasi, Lee Zii Jia ‘hint’ bakal kembali beraksi?
BACA LAGI: [VIDEO] Aaron-Wooi Yik 'pecah peluh' sebelum rangkul kejuaraan pertama di Terbuka Korea
Lee Zii Jia
Selepas berehat daripada kecederaan, Lee Zii Jia kembali beraksi dengan namanya mencabar kejuaraan Kumamoto Masters sebagai pemain pilihan kelima kejohanan.
Kejohanan ini amat penting untuknya kerana ketika ini, namanya sudah berada ditangga keenam untuk Hangzhou selepas dipintas oleh pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Zii Jia dilihat sebagai wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan lelaki di Jelajah Dunia Akhir BWF.
Zii Jia mesti mempunyai kempen yang baik di Jepun dengan dia perlu mara jauh sekurang-kurangnya separuh akhir bagi membolehkan peluangnya tidak tertutup untuk ke Hangzhou.
Jika tumpas awal, peluangnya semakin kecil dan dia tiada pilihan lain selain meraih kejuaraan di China Masters.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun
Tanpa disedari, nama Man Wei Chong-Tee Kai Wun berada dalam posisi untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF bersama-sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin bagi beregu lelaki.
Sementara Sze Fei-Izzuddin berada di posisi baik, kedudukan Wei Chong-Kai Wun sedikit terancam apabila mereka menduduki tangga ketujuh daripada lapan yang dibenarkan layak.
Gandingan Wei Chong-Kai Wun berpotensi untuk ke Hangzhou.
Dengan mereka berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua Kumamoto Masters, mereka perlu melangkah jauh untuk mengesahkan tempat mereka dalam kedudukan lapan terbaik.
Namun begitu, lawan mereka di pusingan kedua agak sukar kerana berdepan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang merupakan pilihan ketiga kejohanan. Akan tetapi, tiada yang mustahil buat mereka.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Nama pasangan beregu utama negara ini tidak berada dalam senarai lapan terbaik untuk ke Hangzhou ketika ini dan Kumamoto Masters menjadi pentas terbaik mereka untuk ke situ.
Aaron-Wooi Yik buat ini menduduki tangga kesepuluh dengan perbezaan mata yang agak jauh antara mereka dengan penghuni tempat kelapan iaitu Liang Wei Keng-Wang Chang.
Aaron-Wooi Yik perlu bekerja keras untuk pastikan dapat tempat ke Hangzhou.
Perbezaan mata antara Aaron-Wooi Yik (63090 mata) dengan Wei Keng-Wang Chang (66310 mata) memaksa pasangan negara itu mengulangi kejayaan serupa semasa Korea Masters di Kumamoto Masters untuk memastikan mata maksimum berjaya diraih.
Jika mereka terlepas, ia pasti kehilangan besar buat Jelajah Dunia Akhir kerana kualiti yang ada pada mereka mampu menggegarkan penyokong badminton seluruh dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram