KECOH di media sosial pada Oktober lalu apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan kehadiran bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez yang ditandatangani sebagai ejen bebas.
Dia yang sebelum itu beraksi dalam liga bawahan Brazil bersama Coritiba FC mengambil keputusan meninggalkan pasukan berkenaan selepas hanya meraih enam penampilan dengan peluang terhad tersebut disebabkan isu kecederaan dialaminya.
Perpindahan tersebut sememangnya diharapkan dapat menaikkan lagi imej JDT kerana berita berkenaan heboh diperkatakan sehingga ke peringkat media antarabangsa yang pastinya membuatkan mereka semakin dikenali.
BACA LAGI: Fans Selangor sambut baik berita pemergian Boakye, dengarnya penyerang Turkiye jadi pengganti
BACA LAGI: [VIDEO] Taktik licik Pepe kecewakan Boakye selepas berjaya bocorkan gawang Real Madrid
Real Madrid merupakan antara kelab pernah diwakili Jese Rodriguez. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, pengalamannya beraksi di Eropah bersama skuad Los Blancos dan beberapa kelab lain seperti Paris Saint-Germain sememangnya diharapkan dapat membawa skuad Harimau Selatan ke tahap lebih tinggi.
Bagaimanapun, selepas kira-kira dua bulan bersama kelab Selatan tanah air itu, Jese masih bergelut untuk membuktikan nilai sebenarnya dengan gol ketika berdepan KL Rovers dalam Piala Malaysia merupakan jaringan tunggalnya setakat ini.
Meskipun ramai beranggapan catatan itu akan terus ditambah baik, dia yang pernah satu ketika dilabel berkelas dunia sepatutnya tidak berdepan isu untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.
Namun, sekiranya dilihat kepada sejarah Liga Super, terdapat tiga pemain bertaraf antarabangsa pernah menyertai kelab Liga Super, namun perpindahan itu hanya heboh diperkatakan di media sosial, namun gagal ditonjolkan di atas padang.
1. Daniel Guiza
Lama sebelum JDT menerima khidmat Jese Rodriguez, mereka pernah mengalu-alukan kehadiran seorang lagi penyerang Sepanyol, iaitu Daniel Guiza yang pernah menempa nama di Eropah.
Manakan tidak, dia yang pernah mewakili skuad La Roja sebanyak 21 kali diangkat sebagai antara peledak terbaik di benua tersebut selepas mengungguli carta penjaring terbanyak La Liga pada musim 2007/08.
Selain itu, khidmatnya membantu negaranya menjulang Kejohanan Euro 2008 dengan dua gol dijaringkan dalam pertandingan berkenaan yang menaikkan lagi namanya dalam sukan terbabit.
Daniel Guiza hanya kekal untuk kira-kira tiga bulan buat skuad Harimau Selatan.
Tetapi, harapan untuk menyaksikannya memeriahkan arena bola sepak tanah air tidak kesampaian apabila dia gagal membawa impak signifikan terhadap skuad Harimau Selatan setelah tiba pada 2012 secara pinjaman.
Berdasarkan rekod, Guiza hanya menjaringkan enam gol dalam 10 penampilan buat skuad Harimau Selatan, namun kontraknya ditamatkan segera yang sekali gus menyaksikannya pulang ke majikan asalnya, Getafe FC.
Meskipun impaknya di atas padang tidak begitu dirasai, namanya yang pernah bersinar di Eropah sedikit sebanyak menghangatkan projek pembangunan JDT pada peringkat awal.
2. Richmond Boakye
Kualiti dimiliki penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle dirasakan tidak cukup buat Selangor FC musim lalu kerana pada jendela perpindahan kedua, pihak pengurusan bertindak membawa masuk penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye.
Meskipun tidaklah begitu dikenali, pemain tersebut memiliki karier cukup memberangsangkan apabila pernah beraksi dan menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat Red Star Belgrade.
Selain itu, peledak tinggi lampai tersebut pernah mewakili gergasi Itali, Juventus yang menyaksikannya meraih pingat Serie A meskipun tidak pernah mencatatkan sebarang penampilan.
Boakye bergelut sepanjang separuh musim buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikannya meledak buat skuad Gergasi Merah tidak kesampaian kerana dia kerap mensia-siakan peluang terhidang selain bergelut mencipta keserasian bersama rakan sepasukan.
Kesukaran sepanjang kelab Gergasi Merah itu menyaksikan Boakye hanya sempat menjaringkan enam gol dan tiga bantuan jaringan buat Selangor FC sebelum kontraknya ditamatkan pada penghujung musim.
Dia kini difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun baru sahaja berusia 31 tahun serta tidak mengalami sebarang masalah kecederaan serius sepanjang bersama kelab Liga Super itu.
3. Chris Herd
Dalam usaha memperkukuhkan benteng pertahanan, skuad Sang Penyu pernah mengambil keputusan berani dengan membawa masuk pemain import dari Australia, Chris Herd pada 2021.
Pemain yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal itu memiliki pengalaman cukup baik selepas pernah menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Aston Villa dengan 42 penampilan sempat direkodkan.
Malah, sepanjang beraksi buat The Villans, bek tengah berkenaan pernah menjaringkan gol ketika mereka menentang Liverpool di Stadium Anfield pada musim 2011/12.
Hanya satu penampilan direkodkan Chris Herd buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, harapan untuk menyaksikannya menyarung jersi skuad Sang Penyu secara kerap tidak kesampaian apabila masalah kecederaan menghalangnya daripada tampil dalam pasukan.
Berdasarkan rekod, Herd hanya merekodkan satu penampilan buat skuad Sang Penyu sebelum dia dilepaskan dengan persefahaman bersama atas perkara tersebut.
Isu berkenaan jelas menghantui kariernya kerana dia kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun usianya baru sahaja mencecah 35 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram