[VIDEO] Taktik licik Pepe kecewakan Boakye selepas berjaya bocorkan gawang Real Madrid


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Boakye berjaya jaringkan gol menentang Real Madrid tetapi taktik licik Pepe yang berikan tiga mata buat Los Blancos. — Agensi

SIAPA yang tidak kenal dengan Richmond Boakye? Penyerang Selangor FC itu yang kini amat dikenali kerana ketumpulan serangannya hinggakan penyokong sendiri tidak gemarkan pemain tersebut.

Semasa tiba di Malaysia, Boakye mencuri tumpuan dengan reputasinya pernah beraksi dalam saingan seperti La Liga dan Serie A.

Malah, pemain itu pernah mengecewakan Cristiano Ronaldo dan Real Madrid pada 2013 apabila jaringannya buat Elche memadam peluang Los Blancos untuk meraih tiga mata.

Cerita itu membuatkan nama Boakye terus menjadi tumpuan sebaik tiba sebagai pemain Selangor. Penyokong Gergasi Merah nyata teruja pemain itu mampu merobek setiap pintu gol lawan dalam Liga Super.

"Bermain menentang Real Madrid dan saya jaringkan gol penyamaan selepas Ronaldo menjaringkan gol terlebih dahulu. Melihat muka Ronaldo, amat menyenangkan dapat menjaringkan gol menentang Real Madrid," kata Boakye.

Menurut Boakye, itu adalah salah satu daripada detik terindah dalam kariernya. Akan tetapi, kisah itu merupakan sebahagian daripada cerita sebenar daripada perlawanan tersebut.

307_405__1am3864athumb8

Ronaldo menjaringkan gol kemenangan buat Real ketika bertemu Elche. — Agensi

Benar Boakye berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90+1 untuk Elche bagi memadam jaringan Ronaldo pada awal separuh masa kedua. Akan tetapi, taktik licik pertahanan Real, Pepe memastikan kemenangan pasukannya sekali gus memusnahkan gol oleh penyerang Ghana tersebut.

Tidak lama selepas jaringan Boakye, Real memperoleh sepakan penjuru dan ketika perebutan bola di udara, Pepe memanipulasi pemain Elche yang sedang mengawalnya iaitu Carlos Sanchez bagi mendapatkan sepakan penalti.

Pepe melakukan sentuhan fizikal dengan Sanchez yang kemudiannya memaksa pemain tersebut mengasari pertahanan Real itu agar mendapatkan sepakan penalti.

Sanchez terperangkap dalam taktik licik itu lalu menjatuhkan Pepe. Insiden tersebut disedari oleh pengadil lalu memberikan sepakan penalti buat Real.

Ronaldo yang mengambil tendangan tersebut menjaringkan gol keduannya pada minit ke-90+6 bagi memberikan kemenangan buat Real sekali gus mengecewakan Boakye dan Elche.

10 tahun sudah berlalu sejak daripada perisitiwa itu, semua sudah membawa haluan masing-masing dengan Boakye di Selangor, Ronaldo berkelana di Arab Saudi bersama Al-Nassr dan Pepe kembali ke Portugal dengan menyertai semula Porto. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram