MUSIM ini, Selangor FC mencatatkan rekod yang baik terutamanya dalam saingan Liga Super.
Persembahan baik secara keseluruhan yang ditonjolkan oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe telah membuatkan Selangor berjaya untuk kembali ke saingan Asia musim depan sebagai naib juara liga.
Terdapat pelbagai nota baik dicatatkan Gergasi Merah musim ini seperti kecemerlangan Ayron del Valle yang menjadi penjaring terbanyak Liga Super dengan 23 gol selain aksi memukau Faisal Halim setiap kali perlawanan diadakan.
Namun begitu, Selangor turut mempunyai detik yang tidak berapa baik buat mereka. Sebagai contoh, kerjasama Gergasi Merah bersama penyerang Richmond Boakye tidak berhasil.
Baca Lagi: Gergasi Merah setia dengan DNA Colombia, rakan senegara Ayron dikhabar ke Selangor
Boakye hadir ke Selangor dengan reputasi tinggi selepas mempunyai pengalaman beraksi di beberapa kelab Eropah seperti Juventus, Red Star Belgrade dan Elche.
Namun begitu, persembahannya tidaklah segah rekod lampaunya. Boakye sentiasa menjadi kritikan pedas penyokong Selangor apabila cuma mampu menjaringkan enam gol daripada 13 penampilan bersama-sama Gergasi Merah.
Persembahan buruk Boakye bersama-sama Selangor itu dilihat sudah berakhir kerana bermula daripada 1 Januari 2024, penyerang tersebut dilaporkan sudah tidak mempunyai kelab.
Menurut laman Tranfermarkt, status Boakye telah bertukar menjadi "without club" dan perkara itu telah disambut baik oleh penyokong Selangor.
Laman Transfermarkt menunjukkan Boakye kini telah dilepaskan Selangor. — Agensi
"Doa seluruh penyokong Selangor FC dan sekutu dengannya akhirnya dimakbulkan. Terima kasih Selangor FC kerana mendengar keluhan kami. Selamat maju jaya buat Boakye," kata penyokong bernama Musa Ismail.
"Akhirnya pergi juga. Dah cakap sebelum ni penyerang import ni scammer," ujar Fazli Hamid.
"Berbakul cercaan untuk dia setiap kali bermain. Scout lagi pakai YouTube!," komen Johari Ismail.
Dengan pemergian Boakye serta Ayron turut meninggalkan Selangor, ia membuka dua peluang besar buat Gergasi Merah mendapatkan penyerang ampuh bagi musim depan.
Ditambah pula bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2), keperluan mendapatkan penyerang tajam dan konsisten adalah penting buat Selangor.
Beberapa nama telah dikaitkan dengan potensi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Boakye dan Ayron. Sebagai contoh penyerang Turkiye, Deniz Hummet dilaporkan sedang diperhatikan oleh Selangor.
Selain daripada itu, mereka juga dikatakan sedang mengejar pemain sayap Afrika cari Cape Verde iaitu Alvin Fortes. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram