Dengarnya ejen Sergio Aguero sudah mula tugas risik Paulo Josue, 3 bintang Sri Pahang termasuk David Rowley 'terancam'


  • Podium
  • Isnin, 11 Nov 2024

Josue telah menjaringkan 10 gol dalam 12 penampilan terakhir bersama The City Boys dalam saingan Liga Super.

SUDAHPUN memasuki usia 35 tahun, konsistensi bintang naturalisasi kebangsaan, Paulo Josue dilihat tidak terkesan meskipun dilabel sebagai pemain veteran buat Kuala Lumpur City FC (KL City) musim ini.

Josue yang menyertai KL City pada 2017 terus mempamerkan aksi konsisten sehingga berjaya menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membenarkannya beraksi buat Harimau Malaya.

Musim ini, pemain kelahiran Brazil itu sudah menjaringkan 10 gol dalam 12 penampilan terakhir bersama The City Boys dalam saingan Liga Super.

BACA LAGI: [VIDEO] Peluang kelab Liga Super ikut jejak JDT pikat Jese Rodriguez, bekas pemain Real Madrid kini ejen bebas

BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu

Walaupun KL City terpalit dengan isu tunggakan gaji selama tujuh bulan, ia tidak memberi kesan buat Josue untuk terus kekal beraksi bersama pasukan Lembah Klang itu.

Dengan rekod yang baik musim ini bersama KL City, tidak pelik jikalau banyak pasukan Liga Super berebut-rebut untuk mendapatkan tandatangannya pada tahun depan.

Josue juga kekal konsisten dipanggil ke dalam skuad Harimau Malaya meskipun berlakunya pertukaran ketua jurulatih baharu.

Ini menunjukkan Josue mampu bersaing di tahap yang lebih tinggi meskipun sudah berusia 35 tahun musim ini.

Pada Ahad, FAM telah memuat naik gambar sesi latihan skuad kebangsaan dan ia sekali gus menarik perhatian penyokong-penyokong Sri Pahang selepas melihat Sergio Aguero.

Ini kerana Aguero dilihat sedang berbual bersama Josue sekali gus menghidupkan spekulasi bahawa pemain veteran itu akan menyertai Sri Pahang musim depan.

Perkara itu juga disambut baik oleh penyokong-penyokong Sri Pahang apabila rata-rata dari mereka tidak berpuas hati dengan prestasi Tok Gajah.

"Tengah bincang untuk sertai Sri Pahang ke itu?" soal Mohd Ammar.

"Jangan nanti tak gaji dahlah, Pahang main bukan nak menang pun, marilah pemain sedap mana pun selagi 'orang lama' ada dalam pengurusan selagi itu Pahang tak akan maju," ujar Rubie Zainal.

"Tak mustahil Josue akan ke Pahang selepas isu tunggakan gaji yang berlaku dalam Kuala Lumpur ketika ini," luah Mohd Zulhelmi.

Namun begitu, jikalau perpindahan tersebut berlaku pastinya akan ada pemain yang terpaksa meninggalkan Sri Pahang demi menampung kos gaji bintang Harimau Malaya itu.

Antara pemain yang mungkin akan meninggalkan Tok Gajah ialah Manuel Hidalgo selepas tempoh pinjamannya tamat.

David Rowley, Sean Selvaraj dan Asnan Ahmad juga mungkin memilih untuk mencari pasukan lain selepas jarang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

Sri Pahang musim ini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas tewas dalam empat perlawanan, seri enam dan hanya mencatatkan tiga kemenangan dalam 13 perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram