[VIDEO] Safiq Rahim nyaris tumbuk pemain KL Rovers, ex Pahang kembali warnai kancah Piala Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 20 Nov 2024

Safiq mengetuai skuad Harimau Selatan berdepan KL Rovers pada Rabu.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan ramai apabila selesa mendahului perlawanan pertama Piala Malaysia 2024 menentang Kuala Lumpur (KL) Rovers dengan kelebihan 3-0 meskipun tidak menurunkan pemain-pemain utama Harimau Selatan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu memperlihatkan empat pemain-pemain muda Harimau Selatan diberikan ruang untuk beraksi.

Pengendali JDT, memberi ruang buat penjaga gol kacukan Sepanyol-Malaysia, Christian Abad Amat untuk melakukan debut rasmi bersama Harimau Selatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Indonesia buat filem, Ryan Giggs lebih awal jadi 'Ipar Adalah Maut'

BACA LAGI: 'Final Piala AFF perlu jadi sasaran utama', Irfan Bakti persoal mana striker tulen Harimau Malaya

Walaupun KL Rovers turun sebagai pasukan bukan pilihan, wakil daripada Liga A1 Semi-Pro itu berjaya memberi saingan di separuh masa pertama dengan beberapa serangan yang mematahkan barisan pertahanan JDT.

KL Rovers yang turut dibarisi pemain berpengalaman seperti Mohammad Amer Saidin, Ahmad Asyraaf Omar dan Muhamad Rafie Mat Yaacob tidak berjaya menghalang Harimau Selatan mendahului pada minit ke-26 hasil ledakan sepakan Heberty Fernandes.

Empat minit kemudian, Heberty sekali lagi menambah kedukaan KL Rovers apabila menjaringkan gol akrobatik selepas menerima hantaran cantik daripada La'vere Corbin-Ong.

Sebelum tamat separuh masa pertama, KL Rovers berjaya melakukan beberapa percubaan ke arah kawasan pertahan JDT namun disia-siakan oleh rakan sepasukan.

Keputusan kekal 0-2 di separuh masa pertama dengan JDT mendahului hasil dua jaringan Heberty.

Bersambung babak kedua, KL Rovers memasukan bekas pemain Sri Pahang FC, Muhammad Gopi Rizqi untuk memperkuatkan barisan serangan pasukan bagi terus memberi saingan dalam perlawanan itu.

Namun begitu, kemasukan Gopi tidak memberikan perkara positif buat KL Rovers apabila Heberty meledak hatrik pada minit ke-70 hasil rembatan jarak jauh yang menewaskan Ahmad Asyraaf Omar.

Sebelum jaringan itu berlaku, satu insiden menarik yang berjaya menangkap lensa kamera apabila kapten JDT, Safiq Rahim berlaga dengan pemain KL Rovers, Zainul Arifin pada minit ke-55 perlawanan.

Ketika itu, Safiq dilihat berang apabila siku pihak lawan terkena kepalanya dan hampir menumbuk pemain KL Rovers sebelum ditenangkan oleh pengadil perlawanan.

Separuh masa kedua juga memberi ruang untuk penyokong Harimau Selatan melihat aksi Jese Rodriguez dan Mohamadou Sumareh yang dirasakan peminat mereka belum capai tahap sebagai pemain utama.

Keputusan kekal 0-3 dengan Heberty berjaya memberi meledak hatrik sekali gus menjadi penjaring terbanyak Piala Malaysia 2024 ketika ini.

Selepas ini, JDT akan terbang ke China bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) untuk bertemu Shandong Taishan sebelum kembali melayani kunjungan KL Rovers pada 30 November di venue sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram