KEPUTUSAN pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente untuk tidak memanggil pemain Terengganu FC, Sharul Nizam Ros Hasni menimbulkan persoalan memandangkan pemain itu dapat mengukuhkan benteng pertahanan mereka.
Dia yang sudah beraksi bersama kelab itu sejak 2021 menjadi antara bintang lokal paling konsisten dengan perkara itu diakui peminat bola sepak tanah air secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol tersebut memiliki pendirian tersendiri mengenai anak-anak buahnya dengan Dominic Tan, Khuzaimi Piee serta Harith Samsuri dipanggil bagi saingan Piala AFF tidak lama lagi.
BACA LAGI: Nijey jual ikan segar demi keluarga, bukan sekadar hobi selain bola sepak
BACA LAGI: Sepakan deras Stefano bikin Nijey terduduk, Tok Gajah-Sang Penyu sama-sama padu
Keputusan itu menyaksikan Shahrul Nizam atau juga dikenali sebagai Nijey terus kempunan untuk mewakili negaranya selepas kali terakhir berpeluang berada dalam skuad kebangsaan adalah kira-kira lima tahun lalu.
Tetapi, di sebalik berita duka itu, pemain berusia 26 tahun itu menerima perkhabaran gembira kerana prestasinya terus mencuri perhatian dengan ia diakui laman sesawang transfermarkt.
Berdasarkan kemas kini terbaru, nilai bek tengah skuad Sang Penyu tersebut mencecah €250,000 (RM1.17 juta) yang menyaksikannya muncul pertahanan tempatan kedua paling bernilai.
Menariknya, tanda harga diletakkan laman sesawang tersebut menyaksikan Shahrul Nizam meninggalkan lambakan pemain lain yang turut cemerlang dalam posisi tersebut dan pernah mewakili Harimau Malaya sebanyak beberapa kali.
Nilai Feroz (kiri) dan Sharul Nazeem masih berada di bawah Shahrul Nizam.
Ini termasuk bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Feroz Baharudin yang dinilai €250,000 (RM1.17 juta) sementara tonggak Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar di tangga keempat dengan tanda harga €225,000 (RM1.05 juta).
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun kelihatan sukar untuk mendaki kedudukan teratas yang kini milik Dominic Tan dengan nilai €300,000 (RM1.41 juta) selepas pemain tersebut bersinar bersama Sabah FC dan Harimau Malaya.
Meskipun tanda harga itu tidak menceritakan prestasi sebenar pemain, ia sedikit sebanyak membuktikan bahawa seseorang itu amat berkualiti sehingga dapat diletakkan tanda harga sedemikian.
Sekiranya Shahrul Nizam dapat terus menampilkan persembahan cemerlang, tiada sebab yang boleh menghalangnya daripada bergelar bek tengah paling bernilai dan jauh meninggalkan rakan senegaranya yang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram