[VIDEO] Setelah lama 'bercuti', import Sang Penyu beri hint akan turun tak lama lagi


  • Podium
  • Sabtu, 30 Nov 2024

Ivan Mamut (belakang) masih belum beraksi buat skuad Sang Penyu musim ini akibat kecederaan. — Facebook/Terengganu FC

KEMASUKAN Ismahil Akinade dan Nelson Bonilla masih belum cukup untuk mengukuhkan jentera serangan Terengganu FC yang tidak begitu cemerlang sepanjang musim 2024/25.

Ia sekali gus menjadi satu kerugian besar buat skuad Sang Penyu yang memiliki Akhyar Rashid dan Safawi Rasid dengan mereka boleh mencipta peluang, baik menerusi umpanan lolos mahupun hantaran lintang.

Masalah tersebut dibuktikan dengan catatan gol mengecewakan kerana Ismahil dan Bonilla baru sahaja mencetak dua gol Liga Super dengan ia adalah pulangan kurang memberangsangkan.

BACA LAGI: Fans keliru, Ivan Mamut yang cedera, bintang import lain pula dilepaskan Terengganu

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga penyerang Croatia 'harga' sama dengan Ivan Mamut boleh dipancing TFC

Ivan-mamut-3nd

Ivan Mamut merupakan antara import paling berbaloi buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Namun, keresahan penyokong kelab Pantai Timur itu tidak berpanjangan apabila penyerang berbisa mereka, Ivan Mamut dilaporkan akan kembali dalam masa terdekat.

Dia yang mengalami kecederaan serius masih belum merekodkan sebarang penampilan musim ini meskipun sudah beberapa kali kelibatnya berada di sesi latihan pasukan.

Tetapi, setelah kira-kira tujuh bulan berehat, pemain kelahiran Croatia berkenaan dikhabarkan bakal kembali ke atas padang selepas memuat naik video pendek memaparkannya sedang menjalani latihan berseorangan.

Hantaran itu sememangnya satu berita baik buat skuad Sang Penyu yang segera memerlukan seorang peledak lebih berbisa berbanding Ismahil dan Bonilla bagi mengetuai barisan serangan.

"Alhamdulillah, akhirnya Ivan Mamut bakal kembali, harap para penyokong beri masa buat Ivan Mamut untuk dapatkan kembali sentuhan jaringan," kata Muhammad Aiman Kamaruzzaman.

"Kalau menurut maklumat diterima, dia akan sertai Terengganu FC semula pada Disember dan hanya boleh beraksi pada Januari. Bulan depan, dia hanya akan berlatih ringan terlebih dahulu," kata Mohammad Amirul Haqimi.

"Berapa lama agaknya dia tak berlatih ya. Nampaknya masih perlu tunggu sehingga tahun depan untuk lihat dia beraksi," kata Khairudin Kdin.

Musim lalu, ketika di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner, penyerang berusia 27 tahun terbabit mencetak 23 gol dalam semua pertandingan dengan satu daripadanya direkodkan dalam kempen Piala AFC.

Berdasarkan rekod itu, tidak hairanlah apabila penyokong Terengganu FC mengharapkan kepulangannya segera dengan gandingan Mamut bersama Akhyar dan Safawi terus dinanti-nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram