SKUAD Harimau Malaya telah memanggil seramai 26 pemain bagi membawa cabaran negara untuk beraksi dalam saingan Piala AFF 2024 yang akan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.
Dalam satu kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad kebangsaan kali ini menampilkan gabungan seimbang pemain berpengalaman dan muda iaitu dengan lapan pemain berusia 23 tahun ke bawah.
Seramai lima pemain muda diberikan kepercayaan untuk menggalas cabaran di kejohanan itu dan mereka ialah Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George serta Muhammad Abu Khalil.
BACA LAGI: Kelab Singapura intai peluang sambar bintang Terengganu FC?
Skuad itu turut menampilkan muka baharu lain seperti dua tonggak Kuching City iaitu Danial Amier dan Jimmy Raymond serta pemain Negeri Sembilan FC, Harith Samsuri selepas masing-masing cemerlang membantu pasukan mereka dalam saingan domestik.
"Ini adalah pilihan pasukan terbaik yang dapat dikumpulkan memandangkan cabaran yang dihadapi bagi kejohanan ini yang diadakan di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa Fifa.
"Dalam tempoh ini juga, Liga Malaysia akan diteruskan seperti yang dijadualkan, sekali gus menambah kerumitan untuk mendapatkan pemain," jelas kenyataan dikeluarkan badan induk itu pada Jumaat.
Meskipun kali ini purata umur skuad ialah 25.9 tahun, yang menyaksikan ramai pemain muda diberi peluang namun penyokong Harimau Malaya menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kebolehan 'ubi muda' itu.
Sehinggakan ada penyokong berharap agar pemain seperti Shahrul Nizam Ros Hasni yang mempunyai pengalaman bersama Terengganu FC (TFC) dipanggil oleh pengendali interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
Senarai 26 pemain bagi membawa cabaran negara untuk beraksi dalam saingan Piala AFF 2024.
"Hi Pau Marti. Untuk pengetahuan anda (Pau Marti), kita ada bek tengah yang hebat bernama Sharul Nizam Ros Hasni. Pada usia 26 tahun, dia bermain untuk Terengganu.
"Konsisten menyampaikan persembahan mantap dan mengagumkan dalam Liga Malaysia dan di peringkat kelab AFC. Musim tengkujuh ini dia tak ke laut. Terima kasih," pendapat penyokong domestik, BolaSepakTRG.
"Pemain Terengganu pun simpanan juga? Kenapa hanya ada seorang dalam senarai," komen penyokong bola sepak tanah air, Cik Myk yang pelik ketiadaan pemain utama Sang Penyu seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Untuk info, Shahrul Nizam pernah mendapat panggilan kebangsaan namun dirinya gagal dihubungi untuk melapor diri ke kem latihan pusat bagi perlawanan persahabatan di Jordan pada 2021.
Bek tengah TFC, Sharul Nizam Ros Hasni. — Facebook/TFC
Difahamkan faktor utama pemain pertahanan tengah Terengganu berkenaan gagal melapor diri ke kem kebangsaan kerana dia turun ke laut bagi melakukan aktiviti mencandat sotong.
Dalam 26 senarai pemain itu, pengendali dari Sepanyol berkenaan hanya memanggil penjaga gol muda Sang Penyu iaitu Rahadiazli Rahalim dan melupakan khidmat pemain utama lain seperti Safwan Mazlan dan Azam Azmi Murad.
Ia menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong susulan Terengganu tidak terlibat dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL2 seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Mengikut rekod, Piala AFF 2024 akan meyaksikan Malaysia bersaing dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram