Terus kempunan, 3 bintang makin bersinar sepatutnya dipanggil ke kem Piala AFF


  • Podium
  • Ahad, 01 Dis 2024

Skuad kebangsaan yang berkongsi mata selepas bertemu India dilihat sudah bersedia untuk menghadapi aksi Piala AFF 2024. — Facebook/FAM

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memanggil 26 pemain untuk mewakili skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF 2024 yang akan diadakan bermula 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad kali ini menyaksikan gabungan seimbang antara pemain berpengalaman dan muda dengan lapan pemain berusia 23 tahun ke bawah.

Seramai 12 pemain daripada skuad 26 pemain yang menyertai perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India pada 14 dan 18 November lalu akan mengetuai skuad kali ini.

BACA LAGI: Bintang Shah Alam Titans letak harapan tinggi, mahu bola keranjang diberi lebih perhatian seperti bola sepak di Malaysia

BACA LAGI: Pakar label Hamidin makin kurang popular untuk kekal jadi Presiden FAM

Menariknya, skuad tersebut turut menampilkan pemain muda berbakat seperti Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil.

Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa muka baharu dalam pasukan berkenaan termasuklah Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri.

Namun, apabila melihat senarai tersebut, terdapat beberapa bintang yang dilihat terus kempunan dipanggil ke skuad kebangsaan walaupun beraksi cemerlang dalam liga domestik.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga bintang Liga Malaysia (Liga M) yang gagal mencuri tumpuan pengendali skuad kebangsaan.

2299102

Shahrul Nizam (kanan) yang sudah bersama skuad Sang Penyu sejak 2021 dilihat wajar diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan.

1. Sharul Nizam Ros Hasni

Bek tengah Terengganu FC (TFC), Sharul Nizam Ros Hasni sememangnya wajar dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan ke saingan Piala AFF 2024 berdasarkan prestasi cemerlangnya di peringkat liga.

Pemain berusia 26 tahun itu menunjukkan kebolehan luar biasa dalam mengawal bahagian pertahanan dengan kemahiran membaca permainan yang tajam, serta kekuatan fizikal yang memadai untuk menghadapi penyerang lawan.

Kekuatan utama Sharul Nizam adalah ketenangannya di dalam kotak penalti serta kebolehan untuk memulakan serangan dari belakang dengan hantaran tepat.

Selain itu, pengalaman yang dimiliki oleh Sharul Nizam dalam saingan Liga M juga menjadikannya pilihan yang berharga untuk skuad negara terutamanya dalam menghadapi cabaran besar di peringkat antarabangsa.

Dengan kematangan dan konsistensi yang ditunjukkan sepanjang musim, dia dijangka mampu memberi impak yang positif di barisan pertahanan Harimau Malaya dalam kejohanan berprestij seperti Piala AFF.

2972230

Nistelrooy kini memegang status penjaring terbanyak Piala MFL. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

2. Gabriel Nistelrooy

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Gabriel Nistelrooy antara pemain tempatan yang wajar diberi peluang untuk mendapatkan caps bersama skuad kebangsaan.

Ini kerana, pemain berusia 24 tahun itu membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang tempatan apabila kini mengungguli takhta penjaring terbanyak Piala MFL 2024/2025.

Bukan itu sahaja, pemain kelahiran Sarawak itu kini dilihat sebagai watak pemusnah baharu yang dimiliki oleh Malaysia.

Kecemerlangan prestasi Nistelrooy ini dilihat hasil latihan pramusim Harimau Selatan di Sepanyol April lalu apabila namanya merupakan antara pemain muda yang turut dibawa oleh pasukan untuk beberapa aksi persahabatan di sana.

Manisnya, Nistelrooy turut beraksi hebat dan berjaya menyumbang dua jaringan buat skuad Harimau Selatan ketika membelasah Club Costa City 7-0 dalam salah satu perlawanan persahabatan di Sepanyol.

WhatsApp Image 2024-11-30 at 17.47.26

Pertahanan Perak FC, Aiman Yusni. — Facebook/Perakfc

3. Aiman Yusni

Pertahanan Perak FC, Aiman Yusni antara pemain yang turut wajar dipanggil untuk menyertai skuad Piala AFF 2024 berdasarkan prestasi konsisten dan kematangan yang ditunjukkannya di liga domestik.

Sebagai seorang bek tengah, pemain berketinggian 1.67 meter itu memiliki kekuatan fizikal yang teguh, kemampuan membaca permainan dengan baik serta ketepatan dalam melakukan clearance yang efektif untuk menghalang serangan lawan.

Malah, kepakarannya dalam bertahan dan mengekang asakan menjadikannya sebagai aset yang amat bernilai kepada pasukan.

Selain itu, Aiman juga dikenali kerana sifat kepimpinan dan kestabilan yang ditunjukkannya di atas padang, terutamanya dalam mengemudi pertahanan.

Walaupun The Bos Gaurus (TBG) tidak berada di kelompok atas liga, Aiman tetap konsisten dengan komitmen dan dedikasi yang tinggi serta sering menjadi tunjang utama di barisan pertahanan.

Dengan usia yang masih muda serta potensi yang besar, kehadiran Aiman ke Piala AFF 2024 akan memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan lagi kemahiran dan pengalaman dalam pertandingan antarabangsa yang lebih sengit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram