SRI Pahang FC dan Terengganu FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas masing-masing terikat dengan 1-1 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat.
Skuad Sang Penyu pada awalnya meraih kelebihan selepas Nurillo Tukhtasinov meraih gol pada minit akhir menerusi percubaan tepat ke arah penjuru gawang Azfar Arif.
Namun, kegagalan untuk mendapatkan jaringan kedua membawa padah selepas mereka dibolosi pada masa kecederaan apabila bek Sri Pahang FC, Stefano Brundo menanduk masuk sepakan penjuru Nor Azam Azih.
BACA LAGI: Faisal Halim, 'The Silent Killer' antara nama pernah wakili TFC, Sri Pahang
BACA LAGI: Aguero harap Pahang dapat kembali ke landasan dalam Derbi Pantai Timur
Keputusan itu sudah tentu mengecewakan buat ribuan penyokong Sang Penyu yang hadir, terutamanya selepas mereka beraksi dengan cukup baik sepanjang 90 minit permainan.
Malah, keputusan berkenaan dilihat berpunca daripada kehilangan pemain pertahanan Terengganu FC, Sharul Nizam Ros Hasni yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Shahrul Nizam kelihatan menahan kesakitan selepas menahan percubaan itu.
Perkara tersebut berlaku berikutan tindakan beraninya yang cuba menyekat sepakan percuma Brundo sehingga menyaksikannya terduduk dan menahan kesakitan.
Lebih merisaukan lagi, pemain yang turut dikenali sebagai Nijey itu terpaksa diusung keluar dan digantikan Matthew Steenvoorden yang kemudiannya menyaksikan benteng pertahanan mereka dibolosi.
Ketika ini, masih tidak diketahui status semasa Shahrul Nizam dengan tidak dapat dipastikan sama ada dia dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan atau tidak.
Sekiranya kecederaan itu serius, pemain berusia 26 tahun itu dikhuatiri terpaksa berehat sebelum aksi Liga Super seterusnya menentang Sabah FC di tempat lawan pada 15 September akan datang.
Keputusan itu menyaksikan skuad Sang Penyu kekal berada di tangga ketiga selepas lapan perlawanan sementara pasukan pelawat naik ke tangga kesembilan setelah memintas Perak FC hasil satu mata yang diraih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram