PRESTASI memberangsangkan dipamerkan skuad Sang Badak sejak Oktober lalu apabila mereka sudah merekodkan enam kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Malaysia.
Ini termasuk kejayaan melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia susulan kejayaan menyingkirkan kelab Liga A1 Semi Pro, Putrajaya Athletic FC dengan agregat selesa 7-0.
Rentetan kemenangan itu sudah tentu mahu diteruskan, namun harapan itu sukar untuk direalisasikan memandangkan selepas ini mereka akan berdepan seteru setempat, Kuching City FC.
BACA LAGI: Tae-su mungkin terlepas aksi di Cheras, 2 nama termasuk Baddrol dipetik jadi pengganti
BACA LAGI: Bukan sahaja jadi kapten Sabah FC, Park Tae-su ada 'tugas khas' bantu DOKS
Tae-su tidak diturunkan sejak kekalahan pasukannya kepada PDRM FC. — Facebook/Sabah FC
Perlawanan yang turut dikenali sebagai Derby Borneo itu akan menyaksikan anak-anak buah Alto Linus bertandang ke Stadium Negeri, Sarawak pada Rabu ini untuk berdepan musuh tradisi mereka tersebut.
Berdasarkan pertemuan sebelum ini, Sabah FC mudah meraih kemenangan 2-1 di laman sendiri hasil jaringan Darren Lok dan Jafri Firdaus Chew manakala gol pihak lawan disumbangkan Pedro Henrique Gois.
Keputusan berkenaan sememangnya menyuntik semangat buat skuad Sang Badak menjelang perlawanan yang akan datang dengan harapan tiga mata penuh dapat diraih.
Harapan itu terus dibangkitkan kerana dalam sesi latihan baru-baru ini, kelibat kapten pasukan, Park Tae-su sudah kelihatan selepas pemain tersebut berehat akibat kecederaan dialami.
Kehadirannya sudah tentu dapat menghangatkan lagi persembahan Sabah FC dengan kebolehannya beraksi dalam pelbagai posisi menjadikannya watak penting bagi perlawanan penting itu.
Tae-su (kiri) kelihatan bersedia untuk diturunkan bagi perlawanan tersebut. — Facebook/Sabah FC
"Wahh, mantap. Park sudah ada dalam latihan. Ketika berdepan Kuching City FC nanti, pasti mantap kita," kata Petir Biraw.
"Harapnya dengan adanya Park dapatlah kita mencatatkan kemenangan. Risau juga lawan Kuching City FC, mereka boleh tahan bagus musim ini," kata Malik Karim.
Kali terakhir pemain berusia 34 tahun tersebut beraksi buat skuad Sang Badak musim ini adalah ketika pasukannya tewas kepada PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor pada September lalu.
Selepas itu, pemain berkenaan tidak lagi kelihatan dalam sesi latihan pasukan utama, namun beberapa kali berkongsi usahanya untuk pulih daripada kecederaan dengan segera.
Musim ini, di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak, skuad The Cats menghuni kedudukan kelima Liga Super selepas 14 perlawanan dengan 26 mata dikutip setakat ini.
Selain itu, kelab berpangkalan di Sarawak tersebut juga berjaya melangkah dengan bergaya ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas mudah menempuhi cabaran daripada Penang FC.
Ini sekali gus menjadikan pertembungan 'Derby Borneo' berkenaan lebih menarik untuk disaksikan dengan Kuching City FC masih mencari kemenangan pertama dalam pertemuan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram