Bukan sahaja jadi kapten Sabah FC, Park Tae-su ada 'tugas khas' bantu DOKS


  • Podium
  • Selasa, 28 Feb 2023

Tae-su (tengah) membantu Kwang-min mendapat pemahaman sebenar mengenai taktikal yang dikehendaki oleh Kim Swee. — Facebook

SABAH FC mengumumkan penyertaan seorang lagi import Korea Selatan, Ko Kwang-min dari FC Seoul ke Sang Badak bagi memperkuatkan pasukan menghadapi saingan kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim ini.

Kapten pasukan Sabah, Park Tae-su difahamkan memainkan peranan besar dalam keputusan pemain pertahanan itu untuk berhijrah ke Liga Malaysia selepas 13 tahun beraksi dengan FC Seoul di divisyen satu Liga Korea Selatan.

Di Sabah FC, Tae-su yang terkenal dengan kemahiran berbahasa Melayu bukan sahaja menggalas tugas sebagai kapten pasukan, malah turut mempunyai satu lagi peranan lain buat Kwang-min.

Dia yang menyertai Sabah FC sejak 2019 menjadi penterjemah bahasa Melayu kepada Kwang-min malah membantu pemain berusia 34 tahun itu mendapat pemahaman sebenar mengenai taktikal yang dikehendaki oleh Datuk Ong Kim Swee.

Terkenal dengan panggilan Karim, Tae-su mempelajari bahasa kebangsaan sebaik berhijrah ke Malaysia kerana tidak pandai berbahasa Inggeris dan kini sudah mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan rakan sepasukan lain.

Meskipun masih awal, Kwang-min sudah menunjukkan persefahaman serta keserasian yang baik dengan rakan sepasukan lagi-lagi ketika Sabah FC membelasah PDRM FC dalam saingan Liga Super pada Sabtu lepas.

Sejak hari pertama di skuad Sang Badak, Tae-su turut membantu Kwang-min memperkenalkan diri kepada penyokong Sang Badak baru-baru ini.

Menerusi satu rakaman yang dikongsikan laman Instagram @baby_rhinosabahfc, Tae-Su menulis skrip dalam tulisan Korea (hangul) untuk dibacakan oleh Kwang-min.

"Selamat malam semua Sabahan. Nama saya Ko Kwang-min, saya akan buat yang terbaik. Terima kasih," katanya sambil menerima sorakan gemuruh daripada penyokong.

Tae-su juga sempat bertanyakan kepada Kwang-min kenapa jersinya besar dan pemain itu membalas kerana dia memang suka mengenakan baju bersaiz besar.

"Saya sebelum ini pernah pakai jersi saiz XL," katanya.

333400706_1718167931932807_2693312705017081779_n

Tae-su (kiri) dan Kwang-min membentuk persefahaman di bahagian pertahanan untuk membantu penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat. — Facebook

Selain Tae-su dan Kwang-min, seramai 10 pemain dari Korea Selatan beraksi di Liga Malaysia musim ini.

Mewakili Perak FC ialah Lee Joo-han, Seo Sun-ung dan Sim Hyun-ki manakala Kang Yi-chan dan Kim Min-kyu (Kelantan FC).

Seorang lagi ialah Ahn Sae-hee (Penang FC) serta terbaharu, dua import Sri Pahang FC yang sempat ditandatangani sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pada 23 Februari lalu.

Dua pemain berkenaan ialah pemain tengah, Lee Ji-yong, dan pertahanan, Lee Jeong-geun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram